MAHAMAD (kanan) menggunakan peranti MCOPS yang dapat menyemak saman tertunggak warga negara asing dengan pantas di R&R Gelang Patah.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: Kebanyakan pemandu dari Singapura enggan membayar saman tertunggak kerana beranggapan undang-undang Malaysia tidak menjejaskan aktiviti harian mereka.

Mereka masih tidak mahu menjelaskan saman walaupun hakikatnya nilai mata wang mereka kini meningkat melebihi RM3 bagi setiap S$1.

Berbeza dengan undang-undang republik itu di mana setiap pesalah perlu membayar saman sebelum dibenarkan pulang, Malaysia tidak berbuat demikian dengan alasan pelancongan menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit setiap tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mahamad Akhir Darus berkata, bagi mengesan pesalah trafik membabitkan warga asing, pihaknya menjalankan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing V (OSTWA V) sejak Jumaat lalu hingga tengah malam kelmarin.

Katanya, pihaknya memeriksa 5,710 kenderaan Singapura dengan 3,275 saman diselesaikan membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Beliau berkata, operasi membabitkan seramai 200 petugas termasuk 47 pegawai polis.

“Operasi tertumpu di tiga lokasi iaitu Kawasan Rehat dan Rawat (RNR) di Link Kedua Malaysia-Singapura dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur serta Kilometer 2, Jalan Tebrau.

“Operasi bertujuan memberi kesedaran kepada pesalah trafik warga asing supaya melaksanakan tanggungjawab dan menyelesaikan saman tertunggak.

“Ketika operasi dijalankan, semua petugas trafik menggunakan peranti khas iaitu MCOPS yang dapat menyemak saman tertunggak warga negara asing selain alat iCOPS untuk mengimbas nombor pendaftaran kenderaan secara automatik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin.

Mahamad Akhir berkata, menerusi operasi itu, 55 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Katanya, lima tangkapan dibuat membabitkan Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan sah selain seorang lelaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Mengikut statistik, pemandu dari Singapura merupakan warga asing yang memiliki saman tertunggak tertinggi di negara ini iaitu 184,014 saman.

“Selain itu, 3,423 pemandu warga Singapura disenarai hitamkan.

“Warga Brunei memiliki 63,696 saman tertunggak diikuti warga Thailand (22,334), Indonesia (2,880) dan lain-lain (2,739),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:13 AM