NADRAH (tengah) mengulang kaji pelajaran bersama rakan di UPM.
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


Berkulit putih dan memiliki kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin dengan baik, menjadi salah satu sebab anak Melayu kelahiran Klang, Selangor ini sering mendapat gelaran ‘Amoi’.

Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) ini bukan saja mempunyai kelebihan bertutur dalam tiga bahasa, malah berbakat dalam lakonan, tarian dan pengacaraan yang dikembangkan sejak di bangku sekolah lagi.

Pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) Nadrah Nur Zawanie Baidrul Shahri, 25, turut mengukir beberapa pencapaian sepanjang berada di universiti dengan bakat yang dimilikinya.

Kata Nadrah, dia sendiri tidak menyangka gelagatnya ketika kecil yang gemar berinteraksi di hadapan cermin, menjadikannya kini sebagai seorang model, jurubahasa, penari dan pelakon teater.

“Saya aktif di universiti, tetapi lebih cenderung terhadap kerja di sebalik tabir dan sampingan.

“Saya juga mencipta karier di luar universiti sebagai jurubahasa dan model sambilan di sebuah syarikat pengiklanan menggunakan medium bahasa Cina.

“Saya turut menerima tawaran ke luar negara, namun menolak kerana saya mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran tambahan pula berada di tahun akhir,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurut anak sulung daripada empat beradik ini mahir menguasai bahasa Mandarin sejak berusia tujuh tahun lagi kerana bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.

Katanya, tiga adiknya yang lain turut menguasai bahasa itu dan menggunakan bahasa itu sebagai bahasa kedua berkomunikasi di rumah.

“Disebabkan boleh bertutur dalam bahasa Cina dengan baik, saya ditawarkan bekerja separuh masa di syarikat pengiklanan sebagai model dan pada masa sama menjadi jurubahasa dalam rundingan iklan.

“Meskipun sibuk dengan bidang peragaan di luar, saya tetap aktif dalam universiti dalam bidang pengacaraan, seni dan budaya kerana saya suka mempelbagaikan bakat, namun tidak lupa membahagikan masa dengan baik dalam pelajaran,” katanya.

Menurutnya, dia memasang impian menjadi pengarah produksi suatu hari nanti dan mempunyai syarikat rakaman sendiri.

Katanya, kursus pengajian diambil juga menambah lagi kemahirannya dalam penyuntingan video dan susunan babak drama serta dokumentari.

“Impian saya meningkatkan lagi mutu filem tempatan suatu hari nanti dan berhasrat mempelajari teknik Imej Janaan Komputer (CGI) di luar negara untuk diaplikasikan di Malaysia.

“Pada masa sama, saya tetap mengembangkan bakat dalam lakonan dan tarian sekiranya ada peluang menonjolkan diri,” katanya.

Baru-baru ini, Nadrah antara finalis dalam Festival Tarian Zapin Johor 2016 berlangsung di Kedah dan meraih naib juara dalam pertandingan teater universiti.

Gadis bertubuh kecil ini juga pernah berlakon dalam drama Festival Kuala Lumpur serta beberapa filem pendek tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:18 AM