Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

Kuala Berang: “Sudah dua malam saya dan rakan berkampung atas jalan menemani 35 kambing peliharaan sebab kandang ternakan ditenggelami banjir.

“Selain membawa makanan ternakan, saya membina sebuah khemah menggunakan kanvas bagi mengelak kambing baka kacukan itu kesejukan,” kata Ghazali Ahmad, 59, ketika ditemui di khemahnya di Kampung Lenjang, dekat sini, semalam.

Menurutnya, hujan lebat berterusan sejak Isnin lalu menyebabkan berlaku banjir keesokkan harinya dan limpahan air dari kawasan sekitar menyebabkan ladang ternakan kambingnya ditenggelami air.

Katanya, bagi mengelakkan kambingnya mati, dia bersama rakan kongsi, Zamri Abdul Razak, 58, nekad mengalihkan haiwan itu ke tempat lebih tinggi kira-kira 250 meter dari kawasan ladang.

Ghazali berkata, berikutan kawasan ladang kambing terkepung dengan banjir, dia terpaksa membina khemah di tengah jalan di kampung itu untuk menempatkan kambingnya buat sementara waktu.

“Sudah tiada pilihan kerana kawasan tengah jalan ini saja yang ada dan kawasan paling tinggi untuk menyelamatkan semua kambing saya.

“Selain membawa makanan kambing ke sini, saya bawa bersama bekalan makanan mencukupi untuk diri sendiri dan Zamri sementara menunggu banjir surut bagi membolehkan kambing dibawa semula ke ladang,” katanya.

Menurut Ghazali, banjir pada Selasa lalu berlaku pada jam 2.30 petang dan sebaik dimaklumkan pembantunya mengenai kejadian itu, dia yang berada di Kuala Terengganu atas urusan kerja bergegas pulang.

“Kandang kambing dibina pada ketinggian dua meter dari aras tanah namun di dalam kandang, air sedalam 0.5 meter dan saya perlu alihkan juga semua kambing,” katanya.

Menurutnya, semua kambing ternakannya bernilai kira-kira RM30,000 dan dia bersama Zamri memulakan aktiviti penternakan di kampung itu sejak setahun lalu.

“Selain kambing, kami juga menternak kelulut dan di ladang itu terdapat 40 sarang kelulut. Namun, semua sarang kelulut musnah ditengelami banjir dan kami mengalami kerugian kira-kira RM12,000.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana kambing berjaya diselamatkan dengan bantuan lima pembantu.

“Buat masa ini, saya dan Zamri lebih selesa tinggal bersama kambing di sini kerana kawasan persekitaran masih ditengelami banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 9:58 AM
GHAZALI menyelamatkan ternakan kambingnya di Kampung Lenjang.
MANGSA banjir (kanan) mengangkat isterinya yang pengsan di Pusat Permindahan Banjir di Kampung Durian Mentangau.