LIMA beradik gagal meneruskan persekolahan sejak setahun lalu kerana masalah kewangan.
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Sik: Perceraian ibu bapa menyebabkan lima beradik di Kampung Lubok Besar di sini, tidak bersekolah sejak setahun lalu akibat dihimpit kemiskinan malah terpaksa menghuni rumah usang dan reput dimakan anai-anai.

Lebih memilukan, bapa yang menjadi tempat mereka bergantung ditahan polis pada November lalu berkaitan kes dadah.

Menurut anak sulung, Muhammad Aiman Affan Mohd Fadli, 15, sebelum ini mereka tinggal bersama ibu selama sebulan di Dulang Besar, Yan selepas berpindah dari Kuala Lumpur.

Katanya, dia hidup berdikari sejak berusia 11 tahun kerana masalah kewangan keluarga manakala empat adiknya, Nur Afrina Audadi, 14, Muhammad Naqael, 12, Muhammas Airel Imran, 10, dan Muhammad Afiq Iqbal, 8, dipelihara ibu mereka, Wan Maheran Wan Ahmad, 47, di rumah sewa di Kuala Lumpur.

“Ibu adalah jurujual di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur. Kami tidak dapat ke sekolah sejak awal tahun lalu kerana kesempitan hidup. Ketika itu, saya tidak tahu di mana bapa tinggal.

“Kemudian ibu kembali ke kampung halaman di Yan, namun dia hanya menjaga kami selama sebulan pada Mei tahun lalu. Pada Jun, kami berpindah ke sini dan tinggal dengan ayah namun dia ditahan polis dua bulan lalu dan kini dipenjarakan.

“Kami lima beradik hanya menggunakan wang yang ditinggalkan ayah untuk perbelanjaan makan dan minum,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Lubok Besar.

Muhammad Aiman Affan berkata, mereka terpaksa bergantung kepada ibu saudara selepas wang berkenaan habis digunakan.

Katanya, keselamatan mereka adik-beradik juga terancam kerana rumah itu sudah beberapa kali dimasuki pencuri.

“Saya terpaksa berjaga malam dan membiarkan adik-adik tidur. Sebelum ini tong gas di rumah ini sudah dua kali dicuri malah penyedut sampah (vakum) juga dicuri.

“Pada sebelah pagi, Nur Afrina akan bangun menyediakan sarapan dan makanan tengah hari, saya pula hanya akan tidur selepas jam 5 pagi. Kesukaran hidup yang kami hadapi sekarang menjadikan kami matang. Kami juga rindu untuk kembali ke sekolah,” katanya.

Bagaimanapun, nasib lima beradik ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid yang bersetuju menanggung semua yuran sekolah termasuk membeli pakaian dan kelengkapan persekolahan mereka.

Mahadzir berkata, Muhammad Aiman Affan dan Nur Afrina akan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 8 di sini, manakala tiga adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Hujung Bandar.

“Ibu saudara mereka, Aziah Abu Bakar yang berusia 46 tahun menguruskan dengan pihak sekolah untuk mereka belajar di dua sekolah itu, jadi pihak saya akan menanggung semua perbelanjaan sekolah di peringkat awal.

“Selain itu, kelima-lima beradik ini juga bersetuju untuk tinggal di rumah anak yatim (Rumah Gemilang) bagi memastikan keperluan mereka untuk ke sekolah terjamin selepas ini.

“Saya juga difahamkan, mereka mendapat bantuan zakat baru-baru ini sebanyak RM500 manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersetuju memberi bantuan bulanan RM450,” katanya kepada media selepas menyerahkan sumbangan kepada adik-beradik terbabit.

Turut hadir, Pegawai JKM, Sik Anis Suzana Ahmad.

-tamat-

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 8:46 AM