Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my

Tumpat: “Saya tidak sangka anak yang takutkan air sejak kecil boleh pergi bermain di sungai,” kata Wan Ramzan Wan Abdul Majid, 47, bapa kepada remaja lelaki yang lemas di Sungai Kelantan dekat Kampung Laut di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa, Wan Rufkhan Danial Wan Ramzan, 14, dikatakan mandi bersama kawannya sebelum tergelincir dan dikhuatiri lemas.

Bagaimanapun, mayat mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan dan penduduk pada jam 1.40 tengah hari, semalam.

Wan Ramzan berkata, dia bersyukur kerana mayat anaknya ditemui kurang 24 jam selepas lemas.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang terbabit dalam operasi mencari anak saya,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, dia berada di kedai isterinya berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut, di sini, sebelum dimaklumkan kejadian itu oleh kawan anaknya.

Katanya, sebaik mengetahui kejadian itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan menghubungi anggota penyelamat.

“Saya memang tidak tahu Danial pergi bermain air di sungai kerana dia memang takutkan air sejak kecil.

“Sebelum kejadian, Danial hanya berseorangan di rumah kerana saya bekerja sebagai anggota RELA di Pengkalan Kubor, isteri pula berniaga manakala adik beradiknya yang lain ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Wan Baijuri Wan Hassan berkata, mayat mangsa ditemui tersangkut di jeti kira-kira 400 meter dari tempat dia lemas dalam keadaan terlungkup.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 9:48 AM
KERJA mencari dan menyelamat di Sungai Kelantan dekat Kampung Laut.
DANIAL