KRU kapal dagang warga Filipina dikejar ke hospital oleh anggota APMM untuk mendapatkan rawatan.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Dua kru kapal dagang warga Filipina terpaksa mendapatkan khidmat pelayaran ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas mengalami kecederaan ketika melakukan kerja senggaraan di atas kapal MT MIA-S di kedudukan 13 batu nautika Timur Laut Tanjung Penawar dekat sini, kelmarin.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, pelayaran ihsan itu dilakukan selepas Pusat Operasi DM 7 menerima laporan mengenai kejadian terbabit daripada Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Johor Bahru.

“Menerusi laporan itu, pusat MRCC Johor Bahru memaklumkan kru kapal Dagang MT MIA-S memohon bantuan kecemasan pada jam 3.40 petang.

“Bertindak terhadap laporan, dua Bot Ronda Kelas Petir ditugaskan bagi memindahkan mangsa yang mengalami kecederaan di posisi 1.2 batu nautika Selatan Tanjung Setapa,” katanya, semalam.

Amran berkata, mangsa warganegara Filipina, Jomar B Dapilaga, 26, mengalami kecederaan di bahu manakala Carl Lan Bachinilla, 26, cedera di kaki.

Katanya, laporan awal mendapati, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa melakukan kerja-kerja senggaraan dalam kapal.

Katanya, bot selamat tiba di Jeti Marina Tanjung Pengelih pada jam 9.45 malam dan mangsa dibawa dengan ambulans ke Klinik Pengerang untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.

APMM Daerah Maritim Tanjung Sedili katanya, sentiasa bersedia dalam memberikan bantuan kecemasan di laut walau dalam apa juga keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 9:38 AM