DR Ahmad Zahid melekatkan logo Misi Bantuan RELA pada kenderaan yang akan digunakan di Putrajaya.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan skor 138 peratus bagi 38 petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan untuk lapan agensi dan jabatan di bawahnya tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah KPI yang ditetapkan itu lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu 22 KPI selain 17 pada 2015 dan 14 pada 2014.

Beliau berkata, penetapan KPI lebih tinggi itu dianggap sebagai tanda kepercayaan semua pihak terhadap KDN dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya mahu semua warga KDN tidak menganggap KPI ini sebagai bebanan, sebaliknya ia adalah tanggungjawab untuk mewujudkan kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian selain rasa percaya yang tinggi diletakkan masyarakat kepada KDN,” katanya pada majlis penyerahan Dokumen Perancangan Strategik KDN 2017 dan Pelancaran Misi Bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 9:15 AM