MOHD Mokhtar (tengah) menunjukkan pelbagai jenis senjata yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.
Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my


Teluk Intan: Sepucuk pistol Revolver.22, sepucuk pistol tiruan, satu bom tangan tiruan, sepasang gari tangan dan pelbagai senjata dirampas polis dalam serbuan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Labu Kubong, di sini pada 27 Disember lalu.

Operasi yang dijalankan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak dan cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak turut menahan lapan lelaki di lokasi berkenaan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan jam 1.30 pagi, semua suspek berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan bersama ganja seberat 163 gram, syabu 55g dan heroin 25 gram.

“Sepucuk Revolver.22, sepucuk pistol dan bom tangan tiruan, 49 butir peluru 9mm, sepasang gari tangan, dua kelopak peluru dan enam bilah parang ditemui ketika pemeriksaan dijalankan pasukan polis.

“Pemeriksaan ujian air kencing mendapati suspek yang ditahan didapati positif dadah. Siasatan masih dijalankan dan mereka kini direman sehingga 9 Januari ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak, Datuk Gan Tian Kee dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad.

Mohd Mokhtar berkata, lapan lelaki berkenaan antara 99 penagih dadah yang ditahan dalam Op Bersepadu itu yang dijalankan pada 27 hingga 29 Disember lalu.

Katanya, sepanjang operasi selama tiga hari itu, seramai 99 penagih dadah berusia lingkungan umur 18 hingga 55 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM7,078.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 9:11 AM