KAWASAN salji tebal di Gunung Damavand.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Berdasarkan ramalan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran mereka percaya Abang Ram (Ramli Abd Majid) ditimbus salji tebal selepas terjatuh di Lembah Yakhar Glasier akibat angin kencang,” kata Ketua Ekspedisi, Mohd Khafiz Bachok.

Menurutnya, pencarian dia bersama Muhammad Aliff Abdullah, 29, selama enam hari di Gunung Damavand tidak menemui sebarang jejak dan petunjuk Ramli di kawasan itu.

“Pencarian kita di perkampungan utara Nandal tidak menemui sebarang petanda positif dan berdasarkan pengalaman pihak Bulan Sabit Merah Iran mendapati kemungkinan Abang Ram masih berada di atas pergunungan itu.

“Sukar untuk dinyatakan, tetapi Abang Ram kemungkinan terjatuh di Lembah Yakhar Glasier dan sudah ditimbus salji tebal,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dalam perbincangan bersama Bulan Sabit Merah Iran dan kedutaan, pihak terbabit membentangkan usaha yang sudah dilakukan dari awal hingga sekarang dan menjelaskan risiko yang terpaksa dilalui akibat cuaca buruk.

“Bulan Sabit Merah Iran menyatakan pendirian mereka untuk mencari Abang Ram sehingga tamat musim sejuk dijangka bulan depan,” katanya.

Khafiz berkata, berdasarkan pengalaman Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, kebanyakan kes orang hilang ketika mendaki gunung berkenaan akan berakhir di Yakhar Glasier.

“Sebelum ini di lembah sama, pasukan SAR menemui mayat Syed Ridzuan Syed Salim Shatri, 50, pada 28 November, yang dipercayai terjatuh dari ketinggian 4,100 meter,” katanya.

Dalam kejadian 20 November lalu itu, pendaki, Syed Redzuan dan Ramli tidak kembali ke Kem 3 yang terletak pada ketinggian 4,200 meter di pergunungan itu.

Bagaimanapun, mayat Syed Redzuan ditemui di Yakhar Glacier jam 12.45 tengah hari waktu tempatan (jam 5.45 petang), enam hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 10:36 AM