Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Kerajaan yang berkuasa menentukan tambang LRT (Sistem Transit Aliran Ringan), ia di luar kawalan Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana, kami hanya mematuhi saja,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Datuk Zohari Sulaiman.

Pada masa ini tiada kenaikan tambang sistem pengangkutan awam berkenaan walaupun Rapid Rail membelanjakan RM577.5 juta untuk pembelian 14 unit tren KLAV (Kuala Lumpur Additional Vehicle) empat gerabak model Bombardier Innovia Metro 300.

Zohari berkata, fokus utama pihaknya ketika ini ialah menyediakan perkhidmatan dalam keadaan selesa dalam jangka waktu tepat dengan frekuensi atau kekerapan yang baik.

“Kerana itu tren generasi baharu diperkenalkan bagi RapidKL Laluan Kelana Jaya memiliki reka bentuk baru serta struktur sisi melengkung dan bercirikan estetik moden.

“Ia kombinasi empat gerabak akan menggantikan tren dua gerabak yang hanya boleh memuatkan 472 penumpang berbanding yang terbaharu seramai 800 penumpang pada satu-satu masa,” katanya kepada media selepas hadir pada hari pertama operasi tren berkenaan di sini, semalam.

Zohari berkata, tren empat gerabak tanpa pemandu berkenaan dilengkapi dengan ciri-ciri baharu seperti peta laluan elektronik dinamik yang menunjukkan arah perjalanan serta stesen sebelum dan selepas.

Selain itu, katanya, setiap gerabak dilengkapi dengan empat unit kamera litar tertutup (CCTV) dan ruang tempat duduk khas untuk orang kurang upaya (OKU) untuk keselamatan serta keselesaan penumpang.

“Tren baharu itu akan meningkatkan kapasiti penumpang LRT laluan itu sebanyak 30 peratus dengan waktu kekerapan perjalanan akan dipendekkan dari 3.5 minit kepada tiga minit tahun hadapan sebaik saja semua tren empat gerabak digunakan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, tren generasi baharu itu menggunakan kepakaran kejuruteraan minyak pelincir yang mengurangkan bunyi bising di antara tren dan permukaan roda.

Menurutnya, penggunaan LED pada lampu hadapan dan dalam tren mampu menjimatkan tenaga elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 11:23 AM
SEBUAH unit tren generasi baharu KLAV bagi LRT aliran Kelana Jaya sekitar Lembah Klang.