FADZIL (kanan) menunjukkan kenderaan yang dirampas menerusi Op Lejang Mewah.
Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Serdang: Kumpulan penjenayah profesional Geng Casis dikesan mempunyai kemahiran mengubah suai nombor casis dan enjin kenderaan curi dalam tempoh singkat.

Penjenayah yang gemar melarikan kenderaan mewah dilengkapi 74 besi bernombor dan huruf, alatan menebuk nombor casis dan enjin kenderaan, dua tukul besi dan mata pengisar untuk melakukan jenayah licik itu.

Bagaimanapun kegiatan 14 ahli kumpulan itu ditumpaskan hasil operasi Op Lejang Mewah dijalankan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Ibu

Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang terdahulu berjaya menahan dua suspek lelaki di Subang Jaya, 13 Disember lalu.

Susulan itu polis merampas kenderaan MPV Toyota Vellfire dan Proton Satria digunakan suspek berserta pelbagai dokumen perakuan kenderaan.

“Hasil penahanan itu membawa kepada tangkapan 12 lagi individu dipercayai terbabit dalam kes sama. Semua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun.

“Enam suspek ditahan mempunyai rekod jenayah dimiliki adalah curi kenderaan, pecah rumah dan dadah. Ada lagi suspek masih di bawah perintah sekatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya pada sidang media di IPD Serdang, semalam.

Beliau berkata, polis merampas 10 kenderaan termasuk dua yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu.

“Lapan kenderaan mewah yang dirampas ialah tiga Toyota Vellfire, Toyota Hilux (3), Proton Satria (2), Honda Integra dan Toyota Wish.

“Mereka mempunyai pelbagai peralatan mengubah suai nombor casis dan enjin kenderaan curi selain mempunyai bengkel bagi membolehkan operasi dilakukan,” katanya.

Difahamkan, sejak awal November lalu, berlaku peningkatan kes kejadian pecah rumah dan melarikan kenderaan mewah di Serdang, Kajang, Gombak, Sepang dan Subang Jaya.

Fadzil berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dirampas mendapati lima iaitu tiga Toyota Vellfire dan dua Toyota Hilux dilaporkan dicuri di Seri Kembangan, Sepang dan Johor.

“Tiga lagi kenderaan Toyota Hilux, Toyota Wish dan Honda Integra tiada rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan disyaki kenderaan klon. Hasil penahanan ahli kumpulan itu, polis menyelesaikan lapan kes dengan nilai rampasan keseluruhan RM800,000.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 457/479A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 411KK dan Seksyen 414KK. Bagaimanapun, kami mencadangkan kepada pendakwaan mengenakan tindakan alternatif kepada suspek mengikut POCA dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 10:15 AM