ABDUL Hakim (kiri) dan Mawi melihat Shamisah Daud (duduk, kiri) dan Nurain Jaafar membayar zakat di Kaunter Zakat PPZ-MAIWP, Masjid Negara.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menegaskan tidak pernah melantik ejen untuk mengutip derma di surau atau hentian rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya seluruh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, tindakan akan diambil terhadap individu tidak bertanggungjawab meletakkan tabung derma di kawasan terbabit yang kini berleluasa.

“Zakat harus dibayar di tempat yang betul dan pihak kami berusaha memberi didikan kepada masyarakat agar tidak tertipu dengan pihak atau individu yang mengutip zakat dan fitrah tanpa tauliah.

“Pihak kami tidak pernah meletakkan tabung derma dan kami mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan individu tidak bertanggungjawab terus-menerus mengambil kesempatan,” katanya pada sidang media ketika Hari Bersama Pembayar Zakat di kaunter PPZ Masjid Negara, semalam.

Katanya, sebagai agensi yang dilantik MAIWP untuk mengutip zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, pelbagai saluran pembayaran zakat disediakan dalam menggalakkan pembayar zakat menunaikan tanggungjawab rukun Islam ketiga itu dengan lebih mudah.

“Sebelum 31 Disember ini, kami menyeru agar pembayar zakat mencari ruang dan masa sesuai untuk melakukan pembayaran zakat untuk mendapat rebat cukai pendapatan.

“Pembayaran boleh dilakukan di 11 kaunter yang dibuka bermula jam 8.15 pagi sehingga 8 malam, selain boleh dibayar melalui portal www.zakat.com.my dan bank yang dilantik,” katanya.

Antara 11 kaunter yang dibuka ialah di Shamelin Perkasa, Wangsa Maju Seksyen 5, Masjid Negara, Wangsa Maju, Anjung Niaga, Masjid Taman Tun Dr Ismail, Masjid Imam Al-Ghazali, Kepong, Masjid Abdul Rahman Auf, Jalan Puchong, Presint 9 dan 15, Putrajaya, Plaza RAH Jalan Raja Abdullah Kampung Baru dan Labuan Times Square.

Sementara itu, katanya, orang ramai juga berpeluang bertemu empat selebriti negara di setiap lokasi seperti Ustaz Fauzi Mustafa (Putrajaya), Norman Hakim (Wangsa Maju), Mawi (Masjid Negara) dan Hafiz Hamidun (Cheras).

“Kelainan dengan penampilan istimewa selebriti ini bagi memberi peluang kepada peminat beramah mesra sambil menggalakkan umat Islam membayar zakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 10:02 AM