pembayar zakat menunaikan tanggungjawab membayar zakat di kaunter LZS.

Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan membuka kaunter bayaran zakat sehingga jam 8 malam pada 31 Disember ini.

Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, kaunter zakat itu dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai membayar zakat, sekali gus dapat menikmati rebat zakat untuk tahun ini.

“Ini antara inisiatif bagi menyediakan saluran untuk memudahkan masyarakat Islam menunaikan zakat terutama bagi mereka yang haulnya jatuh pada Disember ini.

“Dengan membuka kaunter setiap hari, kami berharap masyarakat yang bekerja pada hari biasa dapat hadir pada hari cuti iaitu Sabtu dan Ahad bagi menunaikan tanggungjawab dan kebajikan masing-masing,” katanya, semalam.

Menurutnya, LZS turut menyediakan saluran pembayaran melalui perbankan Internat (eZakatPay) di pejabat pos bagi mengelakkan kesesakan selain memudahkan orang awam.

Dalam pada itu, pembayar zakat, Fahmir Rizal Razali, 35, berkata, lanjutan masa berkenaan dapat memberi peluang kepada golongan berkerjaya untuk menunaikan zakat sebelum berakhirnya tahun ini.

“Kebiasaannya orang ramai berpusu-pusu ke kaunter zakat pada hujung tahun, jadi inisiatif seperti ini sepatutnya diteruskan kerana ia membantu golongan seperti saya yang pulang lewat daripada kerja untuk membayar zakat,” katanya.

Sementara itu, Azrina Minhat, 35, turut mengambil peluang menunaikan zakat pendapatan bagi pihak bapanya.

Menurutnya, selain menunaikan kewajipan sebagai umat Islam, pengunjung berpeluang bertanya soalan berkenaan zakat kepada pegawai bertugas.

Sehingga November lalu, jumlah pengeluar zakat harta di LZS seramai 245,473 orang dan dijangka meningkat akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 10:00 AM