Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kuota satu peratus dalam pengambilan pekerja cacat penglihatan dalam sektor awam masih gagal dipenuhi sekali gus menyukarkan usaha untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU) mendapat pekerjaan biarpun berkelulusan setaraf.

Presiden Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Dr Wong Huey Siew berkata, masalah pengangguran dalam kalangan OKU cacat penglihatan juga disebabkan oleh tanggapan negatif majikan terhadap keupayaan mereka untuk bekerja.

Katanya, persepsi negatif terhadap OKU terbabit agak sukar dikikis biarpun golongan terbabit dibuktikan mampu menunjukkan prestasi cemerlang dalam kerjaya biarpun cacat penglihatan.

“Kita dapati banyak majikan mempunyai maklumat tidak tepat bahawa jika mengambil pekerja cacat penglihatan, mereka perlu mengeluarkan kos tinggi untuk menyediakan kemudahan termasuk mengubah suai tandas.

“Sebenarnya, ia tidak perlu untuk OKU penglihatan kerana kemudahan itu lebih diperlukan kepada OKU fizikal yang menggunakan kerusi roda. Pekerja cacat penglihatan hanya memerlukan sebuah komputer dengan perisian khas saja,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Dr Wong berkata, walaupun ada di antara OKU cacat penglihatan mempunyai kelulusan akademik di peringkat sarjana muda, namun mereka ditolak oleh segelintir majikan yang tidak sanggup untuk ‘melabur’ menyediakan kemudahan khusus.

“Kita juga ada kira-kira 500 OKU cacat penglihatan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara yang gagal mencari pekerjaan kerana tanggapan negatif masyarakat.

“Ada juga berkelulusan doktor falsafah (PhD), sarjana dan sarjana muda namun disebabkan kecacatan itu mereka dipandang sepi. Banyak usaha dilakukan MAB untuk menarik minat dan mencetuskan kesedaran dalam kalangan majikan tetapi sambutan diterima amat dingin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:55 AM