PENDUDUK Nandal terdiri daripada puluhan keluarga saja.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pencarian hari kedua pendaki Ramli Abd Majid, 44, yang hilang di Gunung Damavand, Iran sejak 20 November lalu masih tiada petunjuk baru.

Mohd Khafiz Bachok, 38, berkata, dia dan Muhammad Aliff Abdullah, 29, sempat bertemu beberapa penduduk kampung dan bertanyakan sama ada pernah melihat seseorang turun dari pergunungan itu beberapa minggu lalu.

“Tetapi kami menerima jawapan mengecewakan, tiada penduduk pernah melihat Abang Ram (Ramli).

“Penduduk Nandal terdiri daripada puluhan keluarga saja, jadi setiap kejadian berlaku semua penduduk akan mendapat maklumat,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia dan Aliff tidak akan berputus asa sebaliknya akan terus melakukan pencarian di kawasan sekitar.

“Semalam (kelmarin) kami bermalam di Nandal, tidak sempat mendaki ke 3,300 meter (m) kerana jalan bersalji dan kenderaan hanya dapat menghantar kami separuh jalan.

“Kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam) kami mula mendaki sehingga 2,300m ke Perlindungan Takht Fereydon North East Ridge,” katanya.

Menurutnya, mereka akan berkhemah di pertengahan kerana jalan diliputi salji menyukarkan untuk ke pusat perlindungan.

“Kami mengharapkan terdapat petunjuk baru bagi memudahkan pencarian Abang Ram,” katanya.

Sebelum ini, isteri kepada Ramli, Roslida Ablah, 41, masih menaruh harapan suaminya ditemui dalam keadaan selamat walaupun sedar ia tipis.

Roslida ditemui ketika mengiringi Mohd Khafiz dan Muhamad Alif di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk ke Iran dalam misi dinamakan ‘Mencari Abang Ram’.

Dalam kejadian 20 November lalu itu, pendaki, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dan Ramli tidak kembali ke Kem 3 yang terletak pada ketinggian 4,200 meter di pergunungan itu.

Bagaimanapun, mayat Syed Redzuan ditemui di Yakhar Glacier jam 12.45 tengah hari waktu tempatan (jam 5.45 petang), enam hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 9:47 AM