DR Muhamad Hasbullah ketika menerima PhD di Imperial College London, United Kingdom.
DR Muhamad Hasbullah memecah rekod sebagai pelajar termuda memegang gelaran PhD.
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Belajar lebih 80 jam seminggu. Itu pengorbanan Dr Muhamad Hasbullah Padzillah, 27, yang berjaya bergelar doktor falsafah pada umur 25 tahun sekali gus memecah rekod sebagai pelajar termuda memegang gelaran itu di Imperial College London, United Kingdom.

Dr Hasbullah yang mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari universiti ke lapan terbaik dunia itu bersyukur apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi kepercayaan kepadanya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD pada usia 21 tahun.

Menurut anak sulung dari lima beradik itu, dia mendapat keputusan kelas pertama dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda dari UTM dan mendapat tawaran melanjutkan pengajian terus ke peringkat PhD tanpa perlu melalui pengajian Sarjana.

“Saya terharu apabila pihak UTM memberi kepercayaan itu kepada saya dan tanpa berfikir panjang saya terus menerima tawaran mereka biarpun banyak pihak yang menasihatkan saya supaya berehat sebentar sebelum menyambung semula pengajian.

“Saya fikir ketika itu mengapa saya perlu korbankan masa yang ada untuk perkara yang belum pasti sedangkan sudah ada satu laluan jelas ke arah masa depan lebih cerah,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Dr Hasbullah bagaimanapun akui perjalanannya menggenggam PhD tidak semudah yang disangka apabila dia langsung tiada ilmu mengenai dunia kajian yang kebiasaannya diajar pada peringkat Sarjana.

“Saya akui banyak ilmu Sarjana yang saya terlepas, namun berkat kesabaran dan pengorbanan belajar lebih 80 jam seminggu membuahkan hasil apabila saya berjaya mengikut rentak pembelajaran PhD hanya dalam masa enam bulan.

“Hidup saya hanya bersama buku teks mengenai kajian selama enam bulan pertama di universiti sedangkan rakan sekelas lain sudah jauh ke hadapan. Saya perlu kejar secepat mungkin ilmu pengetahuan mengenai kajian untuk memulakan pengajian PhD saya.

“Macam-macam perkara yang saya fikir semasa bergelut dengan ilmu Sarjana termasuk ingin pulang semula ke Malaysia. Namun, saya perlu teruskan perjalanan saya kerana banyak harapan saya bawa bersama,” katanya.

Katanya, sikap pantang dicabar banyak memberinya dorongan untuk menamatkan pengajian lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan ramai rakan sekelas yang menganggapnya sudah menguasai bidang Sarjana.

“Pernah satu ketika saya tidak faham langsung apa yang diterangkan penyelia dan lebih merisaukan apabila dia menganggap saya boleh menguasai jurusan yang saya ambil. Saya sehingga tidak tahu apa yang perlu ditanya.

“Sehingga sekecil-kecil perkara saya segan untuk bertanya kepada penyelia sehinggalah saya buat keputusan untuk belajar sendiri.

“Saya juga akan mulakan pembelajaran dengan doa ringkas supaya Allah SWT memudahkan urusan saya dan ternyata kuasa doa itu sangat besar bagi mereka yang berusaha dan tawakal,” katanya.

Dr Hasbullah yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan di UTM akui ilmu yang dianggap sangat luas menjadi dorongan utama untuk meneruskan pengajian ke tahap lebih tinggi biarpun waktu mudanya tidak sama seperti rakan sebaya lain.

“Tidak dinafikan semasa mula-mula tiba di United Kingdom, hati saya tersentuh apabila ada rakan sebaya yang sudah mula beli rumah pertama, berkerjaya dan ada juga yang berumah tangga.

“Namun, saya tepis semua itu dan positifkan diri iaitu apa yang saya lakukan sekarang adalah jauh lebih seronok dan berguna untuk masa depan generasi akan datang,” katanya.

Katanya, tidak mustahil bagi orang lain ingin mengecapi kejayaan sama sepertinya asalkan terdapat kemahuan tinggi dan bukan sekadar mahu bergelar doktor falsafah.

“Tetapkan dalam minda dan hati kita mesti bawa pulang PhD. Tidak cukup hanya ingin mendapat PhD kerana percayalah perjalanan menggenggam PhD sangat sunyi dan tiada siapa yang akan membantu kita melainkan Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 8:54 AM