MOHD Yusrizal menunjukkan gula-gula yang didakwa tiruan.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Seorang pesara kerajaan mendakwa tertipu selepas membeli gula-gula herba disyaki tiruan dengan harga murah, namun rasanya tidak dingin selain terlalu manis berbanding yang asli.

Pesara berusia 60-an itu dikatakan membeli gula-gula berkenaan dalam bentuk paket yang mengandungi 35 biji dengan harga RM2 sebungkus di sebuah kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Namun, selepas merasa tertipu, dia terus membuat aduan di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) dan berharap tindakan susulan diambil kerana bimbang orang lain akan turut mengalami nasib sama.

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya sudah mengambil sampel gula-gula terbabit untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, pengadu mendakwa dia membeli gula-gula herba tu untuk menghilangkan batuk kerana sebelum ini dia kerap membelinya tetapi kali ini rasanya berbeza.

“Sebaik makan, dia mendapati gula-gula berbeza berbanding jenama yang selalu dimakan kerana mendapati ia manis dan kurang berangin.

“Susulan itu, dia membuat aduan di sini selepas mengesyaki bungkusan mengandungi kira-kira 35 gula-gula herba itu adalah tiruan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Simpang Kuala, di sini semalam.

Pihaknya turut mencuba gula-gula dibeli lelaki berkenaan dan mendapati ada perbezaan dengan yang asli.

Katanya, rasa yang asli lebih dingin dan ‘pedas’ yang mampu menghilangkan batuk dan sakit tekak.

“Susulan itu, CAKE akan menghantar gula-gula berkenaan ke Jabatan Kimia dalam tempoh terdekat untuk menganalisis kandungan bahannya.

“Selain itu saya menasihatkan pengguna meneliti bahan murah dibeli mereka terlebih dulu untuk mengelak terbeli yang palsu dan ia lebih senang dikesan melalui harganya yang murah,” katanya.

Katanya, pengguna perlu memberi perhatian pada isu produk tiruan kerana ia berkait soal keselamatan, kualiti dan bahan klon atau tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 9:50 AM