Erdiehazzuan Ab Wahid
hmkk@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan bekalan minyak masak khususnya bagi paket satu kilogram (kg) bersubsidi mencukupi di seluruh negara sempena musim perayaan Krismas ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong berkata, kuota pengeluaran yang dikeluarkan oleh kilang adalah berdasarkan populasi rakyat di negara ini

“Selepas membuat lawatan bagi meninjau bekalan barang di musim perayaan, saya dapati minyak masak adalah mencukupi khususnya bagi minyak paket 1kg yang berharga RM2.50 satu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2016 peringkat Sabah di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNKK Datuk Razali Othman, Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Roslan Mahayudin dan Pengarah KPDNKK Sabah, Yahya Sulaiman.

Henry berkata, bekalan kembali pulih apabila penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak yang berkuatkuasa 1 November lalu dan harga RM2.50 kekal bagi satu paket minyak masak 1kg bersubsidi.

“Oleh itu bekalan minyak masak ini mencukupi pada musim perayaan apabila 45,000 metrik tan dikeluarkan setiap bulan bagi menampung keperluan rakyat di negara ini,” katanya.

Sementara itu, KPDNKK akan mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan mengikut skim kawalan harga musim perayaan.

Katanya, peniaga yang ingkar boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selain boleh dikenakan kompaun serta hukuman denda dan penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 10:08 AM
Henry (tiga dari kiri) melancarkan gimik perasmian Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2016 di sebuah pasar raya di Kota Kinabalu.