HASNAH bersama anaknya, Muzaidin Fikri, 30, tinggal di rumah yang uzur di Kampung Tunjong Dalam, Pasir Tumboh.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Kami mahu duduk di mana, kalau tidak terus tinggal di sini,” kata Hasnah Mamat, 59, ibu tunggal yang terpaksa tinggal di sebuah rumah daif di Kampung Tunjong Dalam, di sini.

Keadaan rumahnya amat menyedihkan apabila dilihat hampir roboh menyembah ke bumi berikutan keadaan kayu yang reput.

Apabila hujan, Hasnah dan dua anaknya terpaksa beralih ke tempat lain di dalam rumah kerana tidak mampu menggantikan zink yang diterbangkan angin.

Hasnah berkata, dia tinggal di rumah yang dibina dengan bantuan kerajaan itu sejak 30 tahun lalu bersama dua anaknya berusia 21 dan dan 30 tahun.

Katanya, sejak itu rumahnya yang usang itu tidak mampu dibaiki kerana kesempitan hidup.

“Rumah ini dibina di atas tanah milik keluarga saya dengan bantuan daripada kerajaan.

“Sejak itu biarpun rumah dalam keadaan uzur saya dan dua anak tetap tinggal di sini, kerana tiada pilihan lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Hasnah berkata, setiap bulan dia bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM90 sebulan.

“Dua anak lelaki saya hanya bekerja sebagai kelindan lori.

“Kadangkala kalau kehabisan gas, saya memasak menggunakan dapur kayu di luar rumah,” katanya.

Menurutnya, sekiranya terdesak, dia akan mendapatkan bantuan daripada adik beradiknya yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Sehubungan itu, saya memohon sekiranya ada pihak prihatin untuk membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata, pihaknya akan berusaha membantu untuk meringankan beban yang dialami oleh Hasnah dan keluarganya.

“Keluarga ini memerlukan bantuan pembinaan rumah baru memandangkan kediaman mereka uzur.

“Saya akan bertemu dengan pihak JKM untuk memohon menaikkan sedikit bantuan bulanan kepada Hasnah. Pada masa sama, orang ramai juga disaran untuk membantu,” katanya.

Kepada mana-mana pihak yang prihatin boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Hasnah 03002-41-000002966-5

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 9:31 AM