MPV dinaiki Fazidah remuk teruk selepas merempuh treler yang melintang jalan.
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


Gombak: Seorang guru wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu suaminya merempuh treler di Kilometer 445.5 Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Rawang arah utara, di sini, tengah malam semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, mangsa Fazidah Ibrahim, 55, bersama dua anak dan suami dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke utara.

Bagaimanapun, setibanya di lokasi, sebuah treler dari arah sama yang bergerak di lorong bersebelahan tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah lagi lori di hadapannya.

Akibat rempuhan itu, treler berkenaan terbabas dan melintang di lorong laluan mangsa.

MPV dipandu suami mangsa cuba mengelak namun gagal dan terus merempuh treler berkenaan.

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang parah dan dirawat di Hospital Sungai Buloh sebelum disahkan meninggal dunia jam 5 pagi.

Manakala, anak mangsa berusia 15 tahun turut patah tulang belakang dan dirawat di hospital sama manakala seorang lagi anaknya yang berusia 25 tahun serta suami hanya cedera ringan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku akibat treler dipandu lelaki berusia 36 tahun merempuh belakang sebuah lori di lorong sama sebelum tiba-tiba memasuki lorong kenderaan mangsa.

“Suami mangsa gagal mengelak dan terus merempuh bahagian kanan hadapan treler. Pemandu treler turut luka di kepala dan patah tulang rusuk kanan.

“Semua kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan dan pemeriksaan Pusat Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) serta ujian Jabatan Kimia bagi mengetahui punca kemalangan,” katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:26 AM