Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Che Lijah, semalam.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: “Kepala kanak-kanak itu terkoyak sehingga ternampak otaknya. Saya menjerit meminta orang ramai membawanya ke hospital,” kata Syukram Awang, 30, ketika menceritakan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori 10 tan tanpa muatan di Kilometer 1, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Che lijah, di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 2 petang, mangsa, Nik Nurulirdina Nik Azmin, 6, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang ketika mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu ibu mangsa, Nurul Shuhada Mat Rani, 25, yang datang dari arah Bukit Besi ke Dungun, dikatakan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian tengah lori yang dipandu lelaki berusia 40 tahun yang datang dari arah bertentangan.

Akibat kemalangan itu, Nurul Shuhada cedera parah dan dilaporkan kritikal, manakala ibu Nurul Shuhada, Khatijah Musa, 60, yang duduk di sebelah pemandu, hanya cedera ringan dan mereka kini menerima rawatan di Hospital Dungun.

Menurut Syukram, dia terdengar satu letupan kuat sebelum segera keluar dari rumah dan berlari ke tempat kejadian.

“Ketika itu, Nurulirdina yang duduk di belakang sudah dikeluarkan orang ramai dan saya melihat kepalanya parah, selain dia juga sudah tidak berkata apa-apa.

“Saya menjerit meminta bantuan agar dia segera dibawa ke hospital sebelum seorang pemuda berhenti dan membawanya ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Amri Mohamad berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu.

Katanya, pihaknya mengambil mangsa 15 minit untuk mengeluarkan ibu dan nenek mangsa yang turut tersepit sebelum mereka dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 10:33 AM