MEMILIH melabur sejak sekolah adalah langkah bijak.

Setiap tahun, sekiranya kita melabur, contohnya dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) kita akan menerima pulangan dalam bentuk agihan pendapatan atau dividen.

Tahukah anda, agihan pendapatan ini sekiranya tidak dikeluarkan adalah faktor utama yang menyebabkan pelaburan akan berkembang atau berganda.

Penasihat Pelaburan dan Perancang Kewangan Nazarry Rosli berkata, dividen atau agihan pendapatan tahunan akan membantu pelaburan seseorang itu terus berkembang, jadi sebaik-sebaiknya ia dikekalkan dalam akaun sekiranya tiada keperluan mendesak.

“Seringkali kita mengeluarkan dividen yang diterima dan berbelanja untuk perkara yang tidak perlu dan ini menyebabkan pelaburan gagal berkembang,” katanya ketika ditemui dalam program Santai Labur PNB.

Dalam pelaburan, kuasa yang menggandakannya atau mengembangkannya dikenali sebagai kuasa faedah kompaun dan syarat utamanya ialah seseorang itu mestilah melabur untuk jangka panjang dan mengekalkan pulangan yang diterima dalam akaun.

Ini akan membolehkan agihan pendapatan atau dividen yang diterima mula menjana pendapatan dan ini membolehkan pelaburan berkembang dengan sendirinya dari tahun ke tahun.

Nazarry berkata, untuk membina pelaburan yang kukuh, pelabur tidak boleh terlalu sensitif dengan pulangan yang diterima dan hanya mengharapkan pulangan yang tinggi semata-mata.

“Pelaburan yang sebenar mempunyai kaitan antara risiko dan pulangan, yang mana biasanya pulangan yang tinggi memerlukan pelabur menanggung risiko yang tinggi seperti pelaburan dalam pasaran saham.

“Jadi jangan kita hanya memikirkan pulangan hingga menyebabkan kita meninggalkan pelaburan selamat seperti ASB dan memilih untuk melabur dalam skim cepat kaya,” katanya.

Nazarry berkata, produk unit amanah seperti ASB sepatutnya menjadi pilihan utama masyarakat Bumiputera di negara ini kerana setakat ini ia memberi pulangan yang kompetitif dan memadai dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Paling menarik pelaburan dalam ASB tiada risiko atau berisiko rendah, namun ia memberi pulangan yang memuaskan, jadi ia sepatutnya menjadi pilihan utama, bukan alternatif,” katanya.

Nazarry berkata, dalam piramid pelaburan, seseorang itu sepatutnya membahagikan pendapatan kepada dua akaun utama, satu untuk simpanan dan satu lagi untuk pelaburan.

“Akaun simpanan digunakan untuk membiayai keperluan harian manakala akaun pelaburan untuk jangka panjang supaya ia boleh terus berkembang.

“Kita bertuah kerana boleh melabur dalam ASB yang berisiko rendah dan sekiranya masih ada lebihan lagi, kita juga boleh memilih untuk melabur dalam unit amanah harga berubah seperti ASN atau pasaran saham,” katanya.

Nazarry berkata, kita perlu memaksa diri untuk melabur, sama ada secara tunai atau menerusi Pinjaman ASB.

“Biar pelaburan bermula daripada jumlah yang kecil, tetapi konsisten kerana kekerapan melabur adalah lebih utama bagi menjamin simpanan lebih stabil pada masa depan,” katanya.

Nazarry berkata, sikap endah tidak endah masyarakat negara ini terhadap pelaburan sebenarnya menyedihkan kerana ia menyebabkan mereka terlepas peluang untuk membina tabungan sebagai sumber pendapatan tambahan.

“Semua orang boleh melabur, jadi mulalah melabur walau hanya RM50 kerana dalam jangka panjang ia akan membentuk satu tabungan yang besar. Yang penting kita didik budaya melabur dan menabung dalam diri,” katanya.

MASA DEPAN BERKUALITI:

- Kekalkan dividen atau agihan pendapatan yang diterima dalam akaun sekiranya tiada keperluan mendesak kerana ia boleh membantu mengembang atau menggandakan modal pelaburan.

- Jadikan menabung dan melabur sebagai gaya hidup kerana ia akan membantu membina tabungan kukuh yang boleh menjadi sumber pendapatan tambahan atau sebagai sandaran apabila memerlukan.

- Pelaburan dalam ASB sepatutnya menjadi pilihan utama kerana ia berisiko rendah, tetapi mampu memberi pulangan yang kompetitif kepada pelabur. Orang rami boleh memilih untuk melabur secara tunai atau pinjaman ASB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 8:09 AM