RAKAMAN CCTV menunjukkan lelaki bertopi keledar melakukan samun di kedai serbaneka.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Sebuah kedai serbaneka 24 jam disamun seorang lelaki yang bersenjatakan parang dalam kejadian di Jalan Melaka Raya 3 di sini, jam 3.45 pagi semalam.

Dua pekerja lelaki berusia 20-an bertugas sebelum mereka didatangi seorang lelaki memakai topi keledar dan bersenjatakan parang.

Ketika kejadian, seorang pelanggan lelaki kebetulan berada dalam premis itu sebelum bergegas keluar sebaik melihat lelaki bersenjatakan parang itu memasuki premis berkenaan.

Seorang pekerja wanita berusia 21 tahun yang enggan dikenali berkata, dua pekerja lelaki bertugas selain ada seorang pelanggan ketika kejadian.

“Saya diberitahu lelaki berparang itu masuk ke dalam kedai sebelum pelanggan terbabit segera keluar.

“Telefon pintar milik dua pekerja, masing-masing jenama Samsung dan Oppo dirampas manakala wang dalam dua mesin juruwang juga disamun bersama sejumlah rokok pelbagai jenama,” katanya.

Sementara itu, kakitangan sebuah lagi cawangan kedai serbaneka itu di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, Abdul Hamid Abdul Jalil, 30, berkata, pekerja wanita di cawangan Jalan Melaka Raya 3 berlari 400 meter ke premisnya di Jalan Merdeka untuk meminta bantuan.

“Selepas premis itu disamun, seorang pekerja wanita cawangan itu berlari ke sini, minta tolong dan beritahu penyamun memakai topi keledar dan bersenjatakan parang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 8:53 AM