Anggota PERHILITAN, APM dan penduduk kampung membantu menangkap tapir yang cedera parah di Johol.
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


Kuala Pilah: Seorang perempuan warga emas berusia 70-an terkejut mendapati seekor tapir berkeliaran di sekitar rumahnya di Kampung Jambatan Tanah Baru, Inas, Johol, semalam dalam keadaan leher berlumuran darah dipercayai terkena jerat babi hutan.

Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarjan Majeran Lon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan haiwan berkenaan, jam 12.07 tengah hari sebelum mengerah tujuh anggota ke lokasi.

“Kami dimaklumkan, sebaik terserempak dengan tapir itu, warga emas itu menghalau haiwan berkenaan supaya keluar dari kawasan rumahnya.

“Kami bergegas ke Sungai Inas sebaik penduduk memaklumkan penemuan haiwan itu. Kami terkejut kerana leher tapir itu hampir putus selain seutas dawai masih tersangkut pada lehernya.

“Penduduk memberitahu, dawai itu sering digunakan masyarakat Orang Asli untuk menjerat babi hutan. Mungkin tapir ini termasuk ke perangkap babi hutan terbabit,” katanya.

Menurutnya, dia menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Jempol memaklumkan perkara itu.

“Mereka mempunyai kepakaran dalam hal ini selain mempunyai peralatan lengkap untuk membantu tapir ini,” katanya.

Tapir itu kemudiannya diselamatkan anggota APM sebelum diserahkan kepada PERHILITAN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:25 AM