Keadaan asrama Maahad Al-Fathoni yang terbakar.

Pendang: “Kami nampak kepulan asap hitam dari arah tingkat atas bangunan asrama, selain terdengar bunyi letupan beberapa kali. Kami berkejar ke situ untuk melihat dan mendapati api sedang marak di dalam asrama berkenaan,” kata Pengetua Maahad Al Fathoni, Bukit Kobah, Ashiq Elahi Md Desa.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, seramai 20 penghuni asrama lelaki berusia 15 hingga 20 tahun dari maahad berkenaan berdepan detik cemas apabila asrama yang mereka diami terbakar menyebabkan tempat tidur dan juga barang-barang milik mereka hangus dijilat api.

Ashiq Elahi berkata, ketika kejadian, beliau bersama pelajarnya baru selesai menunaikan solat Isyak berjemaah di surau itu dan sedang bersiap-siap untuk makan malam sebelum suasana menjadi kelam-kabut.

Katanya, ketika itu, hujan lebat dan suasana agak gelap namun mereka masih dapat melihat kepulan asap samar-samar.

“Kami nampak kepulan asap hitam dan juga cahaya terang seperti api dari tingkat atas asrama lalu segera ke sana untuk melihat dan mendapati asrama terbabit sedang terbakar.

“Saya kemudiannya meminta bantuan pelajar yang lebih dewasa untuk mengambil air bagi memadamkan api sementara pelajar lain diminta duduk di tempat yang selamat.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama pelajar, dalam tempoh 15 minit api dapat dikawal daripada terus merebak sementara kami menanti bantuan pihak bomba,” katanya ketika ditemui di maahad itu, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:20 AM