Aminuddin (tiga dari kanan) melawat Mohamad Amirul yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, Georgetown, Pulau Pinang.
Mohd Hilmi Mahmud
am@hmetro.com.my


Georgetown: “Saya bersyukur sudah dapat bergerak sendiri ke tandas menggunakan kerusi roda, walaupun masih berasa sakit di bahagian tangan dan dada kiri,” kata jurukamera sambilan RTM, Mohamad Amirul Amin Amir, 28, yang cedera dalam kes tembak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, Khamis lalu.

Amirul yang sudah lima hari dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) ke wad biasa berkata, dia amat berterima kasih kepada rakan yang datang melawat dan memberikan sokongan moral kepadanya.

“Saya rasa amat terharu dan gembira serta berterima kasih kepada rakan, jiran dan semua kenalan yang datang melawat dan memberikan kata-kata semangat kepada saya. Tidak lupa juga kepada semua yang turut mendoakan saya.

“Sepanjang berada di sini, ramai rakan media datang memberikan sokongan moral kepada saya. Kata-kata mereka memberikan semangat baru untuk saya terus sihat dan pulih,” katanya ketika dikunjungi rombongan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di HPP, semalam.

Sementara itu, Pengurus Operasi YAKEB Aminuddin Mohd Nasir, berkata selain melawat Amirul, pihaknya turut melawat bekas pesilat negara, Shuhardi Chin, 41, yang dirawat di hospital sama.

Beliau berkata, pihaknya menggesa semua atlet mendaftar dengan YAKEB bagi menjamin masa depan mereka sekiranya terbabit dalam kemalangan.

“Sekiranya atlet mendaftar dengan YAKEB, atlet terbabit diberikan bantuan termasuklah kos pembiayaan rawatan di hospital dan bantuan khairat kematian RM20,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 8:58 AM