Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Georgetown: Program Pemindahan Ilmu diterapkan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kaedah gabungan teori dan praktikal dalam bidang arkeologi di tapak Penyelidikan Arkeologi Sungai Batu, Kedah yang membabitkan penduduk setempat membawa hasil positif.

Program melalui proses dan metodologi itu memberi pendedahan mengenai tapak, artifak dan ekofak serta pelbagai kaedah saintifik lain yang boleh digunakan penduduk sebagai model penerangan kepada pelancong.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata, program dianggap mengisi masa lapang itu mampu memberi pendapatan lumayan kepada penduduk berkenaan.

Beliau berkata, melalui program terbabit, 12 penduduk di kawasan tapak kajian dipilih menyertai program berkenaan dan ilmu mengenai kajian diterapkan supaya mudah diterangkan kepada pengunjung khususnya pelancong.

Katanya, USM menggunakan khidmat lebih 500 penduduk tempatan bagi kerja lapangan, analisis artifak dan konservasi tapak sejak 2009.

“Usaha membangunkan bakat melalui memindahkan ilmu seperti ini terutama dalam kalangan belia tempatan penting bagi menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan tapak sejarah serta pembabitan dalam pemuliharaannya.

“Namun belum ada program khas bagi memindahkan ilmu secara berfokus dalam menjayakan program Arkeo-Pelancongan dalam jangka panjang seperti di Tapak Arkeologi Lenggong, Perak,” katanya.

Sejak 2007 hingga kini, 49 daripada 97 tapak keseluruhannya diekskavasi dan dipetakan USM yang dijangka diluluskan bagi pembangunan Tapak Warisan Tamadun Lembah Bujang sebelum dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Penduduk yang juga peserta program, Mohd Faiz Abu Mansor, 23, berkata pada mulanya, dia hanya bekerja sebagai pembantu penyelidik kepada Mokhtar dengan pendapatan RM25 sehari dan kini mampu meraih pendapatan lumayan.

Katanya, dengan pendedahan ilmu daripada Mokhtar itu, dia kini menjadi pemandu pelancong dengan pendapatan harian mencecah RM250 sehari serta mula mahir menguasai Bahasa Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 9:24 AM