Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Kadar purata kebolehpasaran graduan di negara ini meningkat 1.1 peratus kepada 77.2 peratus tahun ini berbanding 76.1 peratus tahun lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, maklumat itu diperoleh menerusi Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2016 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang dilaksanakan sejak 22 November lalu.

Katanya, kadar purata kebolehpasaran graduan di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini meningkat 2.8 peratus bagi tempoh lima tahun mulai 2012 hingga 2016.

Malah, graduan latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) turut menunjukkan peningkatan kebolehpasaran memberangsangkan sepanjang tahun ini.

“Universiti Teknikal Malaysia Melaka menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 87.1 peratus disusuli dengan graduan Politeknik (88.6 peratus) dan Kolej Komuniti (97.2 peratus).

“Daripada 224,575 graduan yang menyertai kajian itu, 126,966 orang (56.5 peratus) memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, 32,063 orang (14.3 peratus) berjaya melanjutkan pengajian, 5,246 orang (2.3 peratus) memilih untuk meningkatkan kemahiran dan 9,053 orang (4 peratus) sedang menunggu penempatan pekerjaan.

“Selebihnya, hanya 51,247 graduan (22.8 peratus) yang didapati belum mendapat pekerjaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Idris berkata, kajian juga mendapati graduan dalam pendidikan menunjukkan kebolehpasaran graduan tertinggi iaitu pada kadar 88.3 peratus diikuti graduan bidang teknik (80.2 peratus) serta teknologi maklumat dan komunikasi (78.4 peratus).

Beliau berkata, usaha berterusan sudah dan sedang dilaksanakan kementerian bagi memastikan peningkatan kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia.

Menurutnya, antara usaha dilakukan termasuk mewujudkan kerjasama erat antara IPT dan pihak industri seperti Program Intervensi dan Program Pusat Kecemerlangan Industri (Industry Centre of Excellent-ICoE) serta Program Keusahawanan dengan kerjasama Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), TERAJU dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 9:20 AM