Intan Suhaila Othman, 34, (kiri) dan Khadijah Hairya Latif, 33, memperkenalkan produk Q’Fish ketika Majlis Perasmian Malaysia Seafood Exposition dan Pelancaran Penjenamaan Semula Ikan Rakyat LKIM di MAHA 2016, MAEPS, Serdang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Serdang: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjenamakan semula sembilan spesies ikan di bawah program Ikan Rakyat kepada Q’Fish.

Ketua Pengarahnya, M Saedon Ab Majid berkata, ikan berkenaan ialah jenis kembong, selar, pelaling, selayang, cencaru, tilapia, keli dan aya(kurik).

Menurutnya, dalam program itu, menawarkan ikan segar beku yang berkualiti sebagai pilihan dengan harga berpatutan kepada pengguna di samping menggalakkan gaya hidup sihat melalui amalan pemakanan ikan segar tinggi protein.

“Semua spesies itu antara 20 jenis ikan yang menjadi pilihan pengguna selain mudah didapati.

“Penukaran nama Ikan Rakyat kepada Q’Fish bertujuan menarik minat dan meyakinkan orang ramai bahawa ikan segar beku adalah berkualiti selain nama itu yang lebih komersial.

“Program ini (Ikan Rakyat LKIM) diperkenalkan pada 2013 sebagai usaha membantu menstabilkan harga ikan dan mengurangkan impak peningkatan kos sara pengguna,” katanya.

Katanya, harga ikan Q’Fish lebih tinggi sedikit berbanding Ikan Rakyat, berpadanan dengan kualitinya yang ditambah baik.

“Kita akan memperluaskan pasaran Q’Fish ke seluruh negara pada tahun hadapan berbanding pada masa ini yang hanya didapati di lokasi tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, M Saedon berkata, sehingga kelmarin, MySE menerima 27,420 pengunjung dengan nilai jualan berjumlah RM90,072.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 9:39 AM