NAJIB melakukan gimik pelancaran Pemasangan Turus Pemecah Pripolena Tertinggi dan Terberat di Kompleks Bersepadu Pengerang.
myMetro

Kota Tinggi: Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang menumpukan bidang pertumbuhan utama bahan kimia di Asia kini memiliki turus pemecahan Propilena diiktiraf sebagai yang tertinggi dan terberat di negara ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pemasangan kemudahan berkenaan adalah sebahagian daripada kemajuan terkini PIC.

Beliau berkata, PIC yang juga pelaburan terbesar Petronas di negara ini terletak di selatan Johor akan beroperasi pada suku pertama 2019.

“Buat masa ini 31,000 pekerja bekerja di tapak binaan PIC dan ketika kemuncak pembangunan iaitu 2017, bilangan pekerja akan bertambah kepada 60,000.

“Apabila beroperasi kelak ia memerlukan lebih 3,000 pekerja,” katanya.

Terdahulu Wan Zulkiflee hadir di Majlis Perasmian Pemasangan Turus Pemecahan Propilena Tertinggi dan Terberat yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang mengadakan lawatan kerja di PIC turut menandatangani plak perasmian turus pemecahan Propilena yang diiktiraf sebagai yang tertinggi dan terberat oleh The Malaysia Book Of Records (MBOR).

Hadir sama di majlis berkenaan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 8:53 AM