SEBAHAGIAN 500 peserta menyertai Kanak-Kanak #QuranHour, semalam.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Lebih 500 peserta menyertai Kanak-Kanak #QuranHour di Masjid Tuanku Zainal Abidin sempena penganjuran hari terakhir Pesta Kanak-Kanak Islam Malaysia (MICF), di sini semalam.

Pengarah Projek MICF Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata, program Kanak-Kanak #QuranHour itu adalah salah satu usaha untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat terutama ibu bapa mengenai kepentingan membaca al-Quran sejak dari kecil.

“Alhamdulillah, peserta yang hadir pada hari ini (semalam) bukan sahaja terdiri daripada kanak-kanak malah daripada golongan dewasa yang turut mengalunkan ayat suci al-Quran selama satu jam.

“Program Kanak-Kanak #QuranHour adalah pertama kali diadakan dan ia hanya menumpukan kepada anak-anak kecil bertujuan mendedahkan mereka mengenai keseronokan membaca al-Quran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, bacaan al-Quran selama satu jam itu dipimpin oleh Ustaz Yusof Arbain yang bermula dengan alunan Asma’ul Husna sebelum membaca Surah Al-Baqarah mengikut kumpulan masing-masing.

Sheikh Faisal berkata, pihaknya mahu memberi kesedaran kepada ibu bapa kerana mereka adalah antara orang yang paling dekat dengan kanak-kanak selain menjadi contoh dan teladan untuk membentuk generasi cintakan al-Quran.

“Melalui pelaksanaan program ini, kita dapat mengumpulkan kanak-kanak untuk mengenali al-Quran dengan lebih dekat. Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama dari Yayasan Warisan Ummah Ikhlas,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Nor Baniamin Baharuddin, 33, berkata, program itu adalah usaha yang baik malah perlu diteruskan bagi membantu perkembangan kanak-kanak.

“Ini adalah kali pertama saya dan keluarga menyertai program pembacaan al-Quran khusus untuk kanak-kanak yang dapat membantu mendekatkan mereka dengan kitab suci ini.

“Bagaimanapun, pelaksanaan program ini perlu terus dilaksanakan di rumah kerana ia mampu membantu tumbesaran kanak-kanak selain dapat menggurangkan penggunaan gajet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 8:53 AM