IBRAHIM (baju kuning) menerima replika cek sumbangan bekas pelajar Sekolah Dato’ Penggawa Barat, Pontian di kediamannya.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Johor Bahru: Jejak kasih yang dilakukan dua tahun lalu selepas terputus hubungan hampir 35 tahun amat bermakna bagi seorang pesakit arthritis atau radang sendi apabila penderitaan dan kesulitan yang ditempuhinya menerima perhatian rakan sekelas ketika menuntut di Sekolah Menengah Dato’ Penggawa Barat, Pontian pada 1979.

Ibrahim Ab Samad, 54, berkata, dia yang berasal dari Kampung Serkat, Pontian terputus hubungan dengan rakan sekolahnya selepas berhijrah ke Kuala Lumpur bersama adik perempuannya.

Menurutnya, berikutan kerap berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan, dia yang juga penerima bantuan bulanan orang kurang upaya (OKU) berjumlah RM350 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga terpaksa melupakan hasrat untuk menjejaki semula rakan sekolahnya.

“Kehidupan saya berbeza berbanding mereka kerana saya tidak pernah bekerja mahupun berumah tangga dan selepas ibu bapa tiada, saya disara empat adik-beradik perempuan serta saya bersama salah seorang daripada mereka di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

“Saya tidak pernah melupakan rakan, tetapi saya juga tidak memiliki sumber kewangan mencukupi mahupun kesihatan baik untuk pulang ke kampung bagi menjejak rakan.

“Tidak sangka seorang kenalan dari kampung di Pontian menghubungi saya dan memaklumkan bekas pelajar sekolah akan mengadakan perjumpaan di Kuala Lumpur dan sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang bertemu kembali dengan mereka selepas lama terputus hubungan,” katanya.

Ibrahim berkata, rakannya terkilan melihat keadaannya yang menderita bukan saja akibat penyakit arthritis malah turut mengalami sakit jantung, hati dan buah pinggang.

Menurutnya, susulannya, pada 3 November lalu, mereka tampil menjalankan usaha melancarkan tabung kutipan dana ‘OurLove4uYem’ bagi meringankan bebannya.

“Saya bersyukur kerana masih ramai rakan mengingati saya kerana saya merupakan bekas calon SPM yang bermasalah kesihatan ketika itu termasuk tidak mampu menduduki peperiksaan dengan sempurna kerana sakit.

“Saya mengalami arthritis sejak usia 14 tahun dan penyakit itu mengakibatkan tulang saya membengkok.

“Akibat arthritis, kedua belah kaki saya dipasang sendi lutut tiruan pada 1994 dan doktor menasihatkan supaya saya menjalani pembedahan menggantikan alat tiruan itu dengan yang baru dalam tempoh tertentu kerana ia akan rosak,” katanya.

Ibrahim berkata, kini dia perlu menyediakan dana sejumlah RM20,000 bagi menampung kos pembedahan penggantian alat berkenaan di kaki kiri yang akan dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2017 dan bagi tujuan itu dia akan memohon bantuan daripada pihak berkaitan.

Katanya, dia juga dijangka menjalani pembedahan penggantian sendi lutut kaki kanan dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan selepas pemasangan alat tiruan itu di kaki kiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 8:16 AM