Iskandar (tengah) bersama pegawainya memeriksa gas yang dirampas di Jalan Papan, Pelabuhan Klang.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


Pelabuhan Klang: Satu sindiket penyelewengan tong gas petroleum cecair (LPG) subsidi dikesan menjana keuntungan jutaan ringgit hasil kegiatan seludup ke negara jiran.

Difahamkan, keuntungan itu diperolehi hasil pemindahan gas daripada tong domestik seberat 14 dan 50 kilogram (kg) kepada lori tangki bersaiz besar untuk kegunaan industri.

Sindiket turut bersekongkol dengan syarikat pemborong berlesen untuk memudahkan pengambilan bekalan tong di pelabuhan berdekatan.

Kegiatan haram sejak setahun lalu itu bagaimanapun lumpuh apabila dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dan Selangor yang menyerbu stor haram LPG itu di sini, malam kelmarin.

Operasi khas pada jam 8.45 malam itu membawa kepada penemuan ribuan tong gas bersubsidi dan lori tangki membabitkan nilai rampasan melebihi RM2 juta.

Kejayaan itu sekali gus dianggap rampasan LPG subsidi terbesar setakat ini.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan dilakukan hasil risikan pihaknya selama empat hari di premis yang berada di lokasi terpencil itu.

“Ketika serbuan, aktiviti pemindahan itu dijalankan beberapa pekerja. KPDNKK merampas lebih 1,000 tong LPG berisi 14 dan 50kg termasuk 1,757 tong kosong.

“Selain itu, beberapa lori tangki yang turut berisi gas dan lori biasa di premis tanpa lesen berkenaan juga disita untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, semalam.

Menurut beliau, tujuh individu termasuk penjaga stor berusia 22 hingga 45 tahun turut ditahan pihaknya bagi membantu siasatan.

“Selain membekukan beberapa akaun milik sindiket itu, pihaknya turut mengesan dua syarikat pemborong berlesen yang disyaki bersubahat dalam kegiatan haram terbabit.

“Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 20 (1) dan 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Kata Iskandar, setakat ini, 23 kes membabitkan rampasan lebih RM7 juta direkodkan KPDNKK di seluruh negara termasuk pembekuan aset 70 individu dan syarikat berkaitan.

“Kami memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab seumpama itu kerana ia membabitkan pemberian subsidi LPG yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion setahun oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 7:55 AM