ABD Wahid melancarkan kutipan tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin di PWTC.
Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meningkatkan usaha bagi menarik lebih banyak sumbangan daripada pelbagai pihak bagi membolehkan lebih ramai murid dan pelajar miskin dapat dibantu menerusi pelbagai bantuan persekolahan.

Setiausaha Bahagian Kewangan KPM Datuk Abd Wahid Ahmad berkata, hal itu kerana terdapat penurunan jumlah kutipan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada RM617,886 pada tahun ini berbanding RM909,289 yang diperoleh pada 2015.

Beliau berkata, walaupun kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM250 juta setahun namun ia tidak memadai bagi menampung jumlah penerima yang mencecah lebih sejuta orang.

“Walaupun KWAMP menerima peruntukan kerajaan namun kita juga bergantung terhadap sumbangan pelbagai pihak termasuk individu dan korporat bagi membolehkan bantuan terus disalurkan.

“Kita menyalurkan Bantuan Am Persekolahan dan Bantuan Bulanan kepada murid dan pelajar.

“Ia juga membabitkan Bantuan Pakaian Seragam/Bantuan Peralatan Sekolah serta keperluan murid, manakala Bantuan Bulanan tertakluk kepada kedudukan kewangan Tabung KWAMP,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Secara keseluruhan, KPM menyediakan 19 jenis bantuan persekolahan pada tahun depan dan bantuan melalui KWAPM dijangka diagihkan sebelum Mac tahun depan.

Selain itu, Abd Wahid berkata, pihaknya akan menggiatkan usaha promosi menerusi media khususnya bagi menggalakkan orang ramai memberikan sumbangan.

“Kita mahu mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai bahawa kerajaan menyediakan bantuan untuk pelajar miskin supaya mereka terus dapat menikmati akses pendidikan seperti murid dan pelajar lain.

“Pada masa sama, kita amat mengalu-alukan syarikat, individu dan orang ramai untuk membuat sumbangan kepada Tabung KWAPM melalui beberapa cara termasuk menerusi kredit secara terus ke akaun Maybank 5640-1611-7704 atau melalui potongan gaji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 7:32 AM