JENAZAH Syed Redzuan kini berada di Hospital Tehran.
myMetro

Kuala Lumpur: Usaha mencari seorang lagi pendaki Malaysia, Ramli Abd Majid, 40, akan diteruskan walaupun cuaca buruk melanda pergunungan Damavand, Iran.

Ketua Ekspedisi Rozaimi Md Said berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR), Kedutaan Malaysia dan keluarga mangsa hari ini.

“Bagaimanapun, operasi SAR mencari Ramli kini ditangguhkan kerana faktor cuaca. Kami jangka operasi SAR lebih fokus ke kawasan sebelah utara.

“Kita akan terus mencari sehingga rakan kami, Ramli ditemui,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Rozaimi berkata, jenazah Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 55, dijangka dibawa pulang dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.

“Jenazah Syed Redzuan kini berada di Hospital Tehran selepas melalui beberapa proses di Hospital Daerah Amol, Iran.

“Antara proses yang perlu dilalui termasuk proses mendapat kebenaran daripada hakim untuk memindahkan jenazah ke luar kawasan. Sekarang masih ada beberapa proses perlu dijalankan di Hospital Tehran. Kami jangka jenazah akan diterbangkan ke Malaysia dalam tiga atau empat hari lagi,” katanya.

Syed Redzuan dan Ramli dilaporkan hilang di gunung setinggi 5,610 meter itu 20 November lalu selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 10:34 AM