Mohd Taha di Mahkamah Sesyen Kajang, semalam.
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Kajang: Seorang jurutera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas sembilan pertuduhan menyimpan pelbagai spesies hidupan liar dilindungi termasuk harimau belang, kucing batu dan burung helang merah, Oktober lalu.

Mohd Taha Abd Wahab, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyimpan seekor harimau belang betina dan seekor kucing batu di kediamannya pada jam 12.30 tengah hari, 19 Oktober lalu.

Manakala bagi pertuduhan ketiga hingga kesembilan, di tempat dan masa yang sama, tertuduh didakwa menyimpan masing-masing seekor burung helang merah, seekor burung gagak gunung, dua burung murai jambul putih, seekor buaya Schneider’s Dwarf Caiman, seekor pelanduk, seekor burung tiong mas dan seekor burung murai batu.

Semua haiwan itu hidupan liar dilindungi mengikut Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Bagi pertuduhan menyimpan harimau belang, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 70(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar ( Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan menyimpan kucing batu pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 70(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala empat pertuduhan lain, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dakwaan bagi tiga lagi pertuduhan, dikemukakan mengikut Seksyen 68(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Perhilitan, Munirah Zainol Abidin tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dengan mengambil kira ia adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin selain haiwan yang disimpan tertuduh daripada spesies yang hampir pupus.

Bagaimanapun, peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh menghidap pelbagai penyakit termasuk sakit jantung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 10:03 AM