Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Marang: “Isteri saya dengar bunyi bising seperti orang bergaduh dari rumah mangsa tetapi tidak berani untuk pergi melihatnya kerana saya tiada di rumah ketika itu,” kata jiran wanita Thailand yang ditemui mati dibunuh di Kampung Che Jah di Binjai Rendah di sini, malam kelmarin.

Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, anak perempuan mangsa yang keluar bermain juga beberapa kali dilihat mengetuk pintu rumahnya untuk masuk tetapi tidak berjaya kerana dikunci.

Menurutnya, kejadian menimpa mangsa hanya disedari seorang lelaki yang juga pekerja mangsa ketika pulang ke rumah jam 7.30 malam.

“Lelaki itu mahu masuk ke dalam rumah tetapi tidak boleh kerana pintu dikunci selain panggilannya juga tidak disahut wanita itu.

“Selepas beberapa kali panggilan tidak terjawab, lelaki itu masuk ke dalam rumah melalui tingkap sebelum menemui wanita itu yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Menurutnya, walaupun berjiran mereka tidak begitu rapat dengan keluarga wanita itu yang hanya bergaul dengan rakannya berasal dari Thailand.

Katanya, suami mangsa yang juga rakyat tempatan meninggal dunia enam bulan lalu dan mangsa tinggal bersama anak perempuannya berusia enam tahun serta dua pekerja lelaki termasuk yang disyaki membunuhnya itu.

Dalam kejadian itu, mangsa, Hayimatiyoh @ Sharipah, 35, yang juga peniaga pasar malam, ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan terbaring di dapur rumahnya dengan kesan kecederaan di kepalanya.

Sementara itu, sepupu suami mangsa, Zabidah Embong, 54, menyifatkan wanita terbabit seorang yang baik dan peramah serta dia tidak sangka ada yang sanggup membunuhnya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu mangsa yang ketika itu berniaga di Pasar Pagi Binjai Rendah pada Khamis lalu tetapi tidak sempat bertegur sapa.

“Ketika itu, saya hanya dapat melihat dia dari jauh dan tidak sempat berbual dengannya kerana mangsa sedang melayan pelanggannya.

“Dia kelihatan kurus dan seperti tidak bermaya tetapi tidak menyangka kejadian seperti ini boleh menimpanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Menurutnya, arwah sebelum ini pernah berbual dengannya dan mengadu kehidupannya menjadi susah selepas kematian suaminya sejak enam bulan lalu.

“Arwah tidak pandai memandu atau menunggang motosikal dan ia memberi kesan kepada urusan hariannya termasuk untuk menjalankan perniagaannya.

“Berikutan itu, arwah buat keputusan untuk mengambil seorang pekerja bagi memudahkan urusan yang berniaga di sekitar Marang dan Kuala Berang,” katanya.

Zabidah yang juga menjual kuih di pasar sama berkata, dia tidak menyangka lelaki terbabit yang dipercayai pekerjanya sendiri sanggup bertindak membunuh wanita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 7:40 AM
WAN Abdul Aziz (kanan) bersama anggota meninjau kawasan rumah Hayitiyoh @ Saripah mati dibunuh di Kampung Che Jah.