KEADAAN rumah mangsa.

Tasek Gelugor: “Saya terkejut dengan kemunculan lelaki terbabit sebelum menendangnya sekuat hati sehingga dia jatuh terlentang,” kata Robiah Taib, 75, yang cedera ditikam penyamun dalam kejadian di Jarak Atas, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 pagi ketika mangsa sedang tidur di ruang tamu sambil ditemani jirannya dikenali Yati, 39, kerana kebetulan dia tinggal seorang diri.

Difahamkan, Yati terlebih dulu menyedari tindakan suspek yang menceroboh masuk ke rumah warga emas berkenaan dan dia sempat bergelut dengan penceroboh sehingga cedera ditikam di perut dan lengan.

Menurut Robiah, dia yang sedang tidur terkejut dengan kemunculan lelaki itu yang menutup muka dengan kain lalu bertindak menendang lelaki berkenaan hingga terjatuh.

“Mungkin berang kerana ditendang menyebabkan lelaki berkenaan menikam perut saya tiga kali sebelum melarikan diri melalui pintu belakang,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Yati yang cedera sempat keluar rumah untuk meminta bantuan jiran sebelum dia dan Robiah dihantar ke HSJ untuk rawatan.

Robiah yang mempunyai 12 cucu mengakui, penceroboh berbadan gempal dipercayai memasuki rumahnya melalui pintu depan sebelum keluar melalui pintu belakang.

“Lelaki berkenaan hanya sempat mengambil dompet mengandungi wang RM40, manakala barang kemas lain tidak sempat diambil,” katanya yang cedera di bahagian kanan perut.

Anak Robiah, Ruzina Abu Bakar, 45, berkata, ibunya tinggal seorang diri dan Yati menemaninya malam kelmarin.

“Saya tinggal di Lunas, Kedah sebelum menerima panggilan dari jiran jam 2.10 pagi yang memaklumkan ibu kena samun.

“Bagaimanapun, saya hanya ke rumah ibu jam 10 pagi tadi sebelum diberitahu ibu dan Yati berada di HSJ. Difahamkan, keadaan Yati lebih teruk dan terpaksa menjalani pembedahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara Asisten Komisioner Azmi Adam mengesahkan kejadian dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 397, Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 10:12 AM