Anggota polis memeriksa sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki disyaki suspek kes samun yang melanggar tiang elektrik.
Omar Osman
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Seorang lelaki cedera di kaki kiri akibat ditembak anggota unit peronda polis (MPV) selepas cuba menyerang mereka dengan parang berhampiran Sekolah Menengah Dato Bijaya Setia, di Batu 2, Jalan Kuala Ketil di sini, semalam.

Dalam kejadian 9.40 pagi itu, tiga lagi rakannya berusia 30-an hingga 40-an turut ditahan dan seorang lagi ditahan tidak lama kemudian di Taman Seri Angsana selepas mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat sebuah kereta Proton Waja dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan dekat bank di Taman Ria, di sini.

Menurutnya, kumpulan itu yang menyedari kehadiran polis, memecut kereta dan dikejar anggota MPV.

“Mereka melarikan diri ke arah Taman Seruling dan berlegar di sekitar kawasan itu sebelum menghala menuju Jalan Kuala Ketil.

“Kejadian itu berlaku hampir 20 minit namun setiba berhampiran sekolah itu, kereta mereka terbabas dan merempuh tiang elektrik menyebabkan empat lelaki itu bergegas keluar dan cuba melarikan diri,” katanya.

Md Zukir bagaimanapun berkata, seorang suspek yang bersenjatakan parang cuba menyerang anggota polis menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan dan mengenai kaki kirinya.

“Suspek yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim( HSAH) manakala tiga rakannya dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kuala Muda. Polis turut menemui peralatan pecah rumah dalam kereta itu.

“Susulan itu, polis menahan seorang lagi suspek pada 12.30 tengah hari di Taman Seri Angsana,” katanya.

Menurutnya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 353, 457 dan 511, Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 10:06 AM