MASIH ada pengunjung yang mandi di Pantai Teluk Cempedak walaupun bendera merah dikibarkan di pantai peranginan berkenaan.

Kuantan: Walaupun bendera merah dikibarkan di pantai Teluk Cempedak, di sini, masih ada pengunjung tidak menghiraukan amaran apabila mandi-manda di pantai peranginan itu.

Tindakan itu boleh mengancam nyawa kerana keadaan cuaca tidak menentu terutama pada musim tengkujuh dan keadaan laut yang bergelora ketika ini.

Tinjauan Harian Metro di kawasan itu semalam mendapati masih ada segelintir pengunjung mandi walaupun pihak berkuasa sudah mengibarkan bendera merah sebagai makluman.

Sepatutnya mereka yang ingin melakukan aktiviti air termasuk mandi-manda membatalkan hasrat itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berikutan keadaan cuaca buruk.

Pengunjung, Kalmasiah Ibrahim, 45, dari Gebeng, di sini, berkata, dia tidak faham masih ada segelintir pengunjung tidak menghiraukan amaran dikeluarkan pihak berkuasa.

Katanya, sepatutnya pengunjung lebih prihatin dan peka dengan keadaan cuaca terutama musim tengkujuh.

“Saya bimbang dari segi keselamatan kerana laut tidak boleh dijangka dan ombak besar boleh meragut nyawa jika tiada langkah keselamatan diambil.

“Saya juga lihat ada ibu bapa membiarkan anak mandi dan bermain tanpa pengawasan walaupun di tepi pantai,” katanya.

Abdul Lafif Moahamad, 50, dari Gambang, di sini, meminta pihak berkuasa memantau dan menasihati pengunjung supaya tidak mandi demi keselamatan.

“Jika terus dibiarkan (mandi) sebarang kemungkinan boleh berlaku dan sebagai warga prihatin, saya nasihatkan kepada mereka yang ingin mandi di pantai ini membatalkan niat itu.

“Saya tidak mahu melihat ada pengunjung lemas disebabkan sikap mementingkan diri ketika pihak berkuasa melarang mereka mandi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 10:01 AM