NAJIB menyuap pulut kuning kepada Abdullah sempena ulang tahun beliau ke-77 tahun, semalam.
Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menjadi antara badan utama yang akan menggerakkan agenda Transformasi Nasional menjelang 2050 atau TN50.

Beliau berkata, TN50 adalah agenda penting kerana kerajaan mahukan satu hala tuju negara yang datang dari rakyat supaya visinya benar-benar diwakili rakyat dan bukan sesuatu yang direka atau dicipta pemimpin tertentu serta pemerintah semata-mata.

“Apabila kita buat dan cadangkan TN50 ini, saya nak dengar suara hati orang muda. Ia bermula daripada apa yang kita sebut 30 tahun akan datang ini adalah masa untuk orang muda hari ini. Jadi anda adalah kumpulan penentu, apakah bentuk TN50 nanti.

“Saya minta GPMS antara badan utama yang akan menggerakkan TN50 ini. Insya-Allah dengan ini kita dapat sama-sama bangunkan negara tercinta.

“Kita juga komited kepada penyatuan umat dalam kesatuan negara, ia bukan pilihan, tetapi wajib bagi kita. Biarlah GPMS teruskan kelangsungan dan dengan itu kemuliaan bangsa Melayu akan kekal dan diletakkan di mercu kejayaan,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Agung Tahunan GPMS Ke-62 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, semalam.

Menurutnya, menyedari dunia sudah berubah dengan memasuki revolusi industri keempat yang mana kebanyakan kilang menggunakan robot sebagai pekerja, masyarakat hari ini perlu menyediakan anak mereka dengan ilmu digital supaya dapat bersaing dalam dunia globalisasi yang kompetitif dan orang Melayu tidak terpinggir.

Justeru katanya, penguasaan ilmu seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting dan dengannya ia dapat mengangkat darjat serta kemuliaan bangsa Melayu.

Dalam ucapannya juga, Perdana Menteri yang juga Penaung GPMS mengumumkan sumbangan RM1 juta untuk Tabung Pendidikan Pelajar Malaysia (TTPM) menjadikan jumlah terkumpul kira-kira RM5 juta setakat ini serta menyerahkan bantuan RM412,436 kepada waris penuntut perubatan Malaysia yang menghadapi masalah kewangan di Mesir.

Beliau kemudian menyampaikan Anugerah Tokoh GPMS Terbilang Sepanjang Zaman kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga bekas Presiden GPMS kesembilan dari 1962 hingga 1964 serta melancarkan kumpulan Najib Geng Anak Muda (NGAM) #TN50.

Bagi kategori Anugerah Aminuddin Baki (GPMS Negeri Terbaik), ia dimenangi GPMS Selangor, Anugerah Abdul Wahab Ariff (GPMS Cawangan Terbaik) diraih GPMS Cawangan Pekan, Pahang dan Anugerah Khas Presiden (GPMS Cawangan Khas Terbaik) diungguli GPMS Cawangan UniKL-Malaysia Spanish Institute.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 9:57 AM