Pegawai Kesihatan melakukan pemantauan.
Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


Ipoh: Penduduk Orang Asli di Kampung Senangit, Pos Kemar, dekat Gerik, semakin bimbang berikutan jumlah penduduk yang dijangkiti positif wabak malaria bertambah mendadak setiap hari.

Tok Batin Kampung Senangit, Hamdan Adik berkata, keadaan itu membuatkan mereka tidak senang duduk dan menganggap ia perkara luar biasa apabila wabak terus menular di kampung itu.

“Apa yang membimbangkan kami sekarang apabila setiap hari semakin ramai penduduk dijangkiti dan ia amat menakutkan.

“Maklumat terbaru petang ini (semalam), 12 pesakit dilaporkan dari Pos Kemar termasuk seorang murid. Empat daripadanya penduduk kampung ini,” katanya, di sini, semalam.

Sehingga petang semalam, 44 daripada 260 penduduk di kampung itu disahkan positif jangkitan malaria spesies Plasmodium vivax (P. vivax).

Katanya, mereka yang dirawat berada dalam keadaan terkawal apabila penduduk yang demam biasa dibenarkan keluar selepas tiga hari, manakala mereka yang disahkan positif jangkitan ditahan dalam tempoh dua minggu.

Hamdan berkata, sebagai Tok Batin di kampung itu, dia memohon wakil rakyat tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan.

“Kami cuma minta sumbangan makanan kepada keluarga yang terkena jangkitan.

“Penduduk kebanyakannya berkebun dan penoreh getah, jadi mereka yang terkena jangkitan hampir putus punca sumber pendapatan untuk isteri dan anak di rumah.

“Pihak hospital memaklumkan mereka yang dijangkiti mungkin ditahan dua minggu untuk rawatan, bermakna selama itulah keluarga terputus punca pendapatan,” katanya.

Menurut Hamdan, pada ketika ini, pemantauan di kampung itu dikendalikan pegawai kesihatan dengan melakukan semburan ubat, pemeriksaan darah dan menambah kelambu berubat.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Juita ketika dihubungi berkata, Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Perak sedia maklum segelintir penduduk kampung yang enggan menjalani ujian darah.

“Kakitangan kami membuat pemantauan dan susulan setiap hari bagi memastikan mereka menjalani ujian itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon pula berkata, nasihat secara berterusan diberikan kepada penduduk yang mengelak ujian darah.

“Pemeriksaan ini penting untuk kebaikan setiap individu dan masyarakat di situ secara keseluruhan.

“Ia memang mengambil masa dan pemeriksaan dibuat secara berperingkat sehingga kita menemui jawapan dan penyelesaian terhadap wabak ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 8:39 AM