Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Seorang wanita mengaku tidak dapat melepaskan gian dadah sejak setahun lalu, malah membelinya setiap dua kali seminggu apabila memperoleh gaji sebagai penyiang ikan.

Wanita berusia 29 tahun itu mempunyai tiga anak berusia 12 bulan hingga 10 tahun, ditahan sekitar jam 10 pagi kelmarin dalam serbuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersama enam agensi lain di pelantar ikan di Kuala Kedah, dekat sini.

Katanya, dia mengambil syabu lebih setahun lalu kerana mahu mencuba, malah suaminya juga penagih dadah, tetapi ditahan polis kerana mempunyai rekod jenayah dan kini menjalani hukuman di penjara.

“Upah menyiang ikan yang diperoleh setiap hari antara RM20 hingga RM30 dan saya gunakan sedikit untuk membeli dadah, manakala separuh lagi untuk menyara keluarga.

“Saya cuba berhenti menagih, tetapi gagal kerana jika ada duit dalam tangan, saya mesti beli dadah kerana ada orang jual di tempat kerja,” katanya ketika ditemui di pangkalan Maritim, Kuala Kedah, di sini, semalam.

Wanita itu mengakui itu kali pertama dia ditahan pihak berkuasa walaupun sudah setahun mengambil syabu, malah kegiatannya itu tidak diketahui keluarga.

Katanya, dia bimbangkan keselamatan anaknya terutama yang bongsu kerana menyusu badan sekiranya dia dibawa ke pusat tahanan.

Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah.

Selain wanita itu, dua lagi wanita termasuk yang baru berkahwin empat bulan lalu turut ditahan kerana positif syabu.

Wanita berusia 20-an itu mengakui walaupun tahu suaminya penagih sebelum berkahwin, dia tetap mengahwini lelaki terbabit disebabkan mereka menagih dadah sejak dua tahun lalu.

“Keluarga tahu kami ambil dadah dan mereka marah, tetapi susah mahu berhenti sebab ketagih. Bagaimanapun, saya kurangkan pengambilan sebab bimbang sekiranya hamil,” katanya yang ditahan ketika bekerja di kilang di Kuala Kedah, di sini.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussain berkata, menerusi Ops Sarang itu, pihaknya menahan 117 individu di empat lokasi di Kampung Ulu, Kampung Tok Pasai, Kampung Tepi Laut dan pelantar siput.

Beliau berkata, operasi tertumpu di Kuala Kedah disebabkan kawasan itu adalah port penagihan dadah terbesar dan mempunyai ramai penagih biarpun pernah diserbu beberapa kali.

“Daripada jumlah yang ditahan hanya 62 positif dadah, kebanyakannya warga tempatan manakala 16 daripadanya warga asing yang diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Dr Abd Halim berkata, operasi itu disertai Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Pertahanan Awam dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia bermula jam 9 pagi hingga 6.30 petang kelmarin membabitkan 91 anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 10:11 AM
DR Abd Halim (dua dari kanan) menyoal siasat wanita yang disyaki penagih dadah dalam operasi bersepadu di sekitar Kuala Kedah.