kakitangan Taman Tema Lost World of Tambun bersedia menyambut kedatangan pengunjung bagi meraikan Lost World Xmasaurus Celebration.
Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my

Ipoh: Program Lost World Xmasaurus Celebration menjadi tarikan terbaru di taman tema popular, Lost World Of Tambun (LWOT), di sini, sempena Cuti Sekolah dan sambutan Hari Natal yang bakal tiba.

Pengurus Besar LWOT Malizan Zakarian berkata, pengunjung yang datang dalam tempoh 26 November hingga 1 Januari depan, berpeluang merasai situasi 1000 tahun sebelum Masihi, selain dapat melihat dinosaur yang disediakan khas buat pengunjung.

Katanya, pelbagai persembahan bertemakan dinosaur disediakan buat pengunjung seperti tarian dinosaur, mengenal bayi dinosaur dan berpeluang memakai kostum dinosaur.

“Bagi pengunjung kanak-kanak, mereka berpeluang untuk memberi bayi dinosaur minum susu dan ia adalah pertama kali diadakan di sini.

“Sebuah bas ulang-alik disediakan mengambil pengunjung hotel dalam kawasan bandar Ipoh bagi memudahkan mereka datang ke sini,” katanya ketika ditemui media.

Malizan berkata, kemeriahan cuti sekolah hujung tahun juga dimeriahkan dengan Night Zoo yang terdapat dalam taman tema berkenaan.

Katanya, zoo berkenaan membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat haiwan eksotik yang aktif pada waktu malam.

“Kita mempunyai pelbagai program menarik buat pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

“Bagi kanak-kanak berusia dalam lingkungan 8 hingga 14 tahun, mereka berpeluang untuk menyertai perkhemahan di bawah bintang yang diadakan pada 2 hingga 4 Disember ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 8:32 AM