TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.
Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Ipoh: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, semalam, atas 105 pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan jumlah lebih RM6 juta pada tahun lalu.

Tertuduh, N Narendran, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Lelaki terbabit didakwa menipu Hafizul Abdul Hamid, 40, dengan memperdayakan mangsa supaya mempercayai bahawa pesanan kerajaan negeri untuk pelaburan membekalkan peralatan perubatan pakai buang kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, adalah tulen.

Tertuduh didakwa mendorong mangsa menyerahkan cek dan wang tunai antara RM20,000 hingga RM350,000 bagi tujuan pelaburan yang tidak wujud.

Dia melakukan kesalahan itu di empat lokasi berbeza antara Mei hingga Disember tahun lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh diwakili peguam, Bernard Francis.

Ikmal Hishan kemudian membenarkan jaminan sejumlah RM90,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap bulan selain menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 8:18 AM