LUKISAN corak menggunakan inai hasil sentuhan Mohd Azizul.
MOHD Azizul menyiapkan hiasan inai pada tangan pelanggannya.
MOHD Azizul bersama bakal pengantin dan adik-beradiknya.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Bagan Serai: Siapa kata kaum lelaki tidak mahir melukis henna atau inai tangan? Ia dibuktikan seorang lelaki dari Gunung Semanggol, di sini, yang mana lukisan henna sentuhannya menjadi kegilaan wanita khususnya pengantin.

Lebih unik, dia yang juga kidal turut mahir melukis pelbagai corak yang diinginkan pelanggan berikutan mempunyai kemahiran seni lukisan batik dari Institut Kraf Negara dan turut mempunyai diploma dalam bidang Seni Batik Kraf pada 2010.

Mohd Azizul Ismail, 28, bukan saja mahir melukis henna pada tangan malah turut berkemahiran melukis di mana-mana saja seperti dinding, kereta dan sebagainya.

Katanya, lukisan henna yang dilukisnya pada tangan seorang kawan yang juga pemilik butik pengantin di daerah ini dua tahun dahulu mendapat perhatian ramai.

“Saya tidak menyangka apabila lukisan batik yang diukir pada tangannya mendapat perhatian setiap pengunjung butik terutama pasangan pengantin dan keluarga,” katanya.

Mohd Azizul yang juga jurugambar perkahwinan berkata, dia tidak sama sekali menjangka kemahiran serta kehalusan lukisan henna yang diukir diviralkan ke laman sosial serta grup aplikasi WhatsApp hingga menyebabkan tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan.

“Pernah beberapa kali, sewaktu saya merakamkan gambar pasangan pengantin bernikah sehari sebelum perkahwinan mereka, seluruh ahli keluarga pengantin sekitar 20 orang meminta saya melukis pada tangan mereka berikutan tertarik dengan lukisan henna pada tangan pengantin berkenaan, sehingga memaksa saya bersengkang mata hingga tengah malam,” katanya.

Mohd Azizul berkata, dia tidak menyangka hasil pembelajarannya terdahulu di Institut Kraf Negara kini menjadi sumber pendapatan sampingan yang lumayan.

“Sebelum berkecimpung dalam ukiran henna ini, terdahulu saya melukis lukisan batik pada kereta dan motosikal menggunakan pen ‘marker’ khas sehingga mendapat perhatian ramai pihak termasuk media elektronik.

“Bukan mudah sebenarnya, dan jika tersilap lukis lain jadinya,” katanya yang mempunyai pelanggan terdiri daripada penduduk kampung sehingga golongan kerabat diraja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:30 AM