KEADAAN kereta yang dihempap serpihan tembok dinding jatuh dari bangunan.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my


Subang Jaya: Seorang lelaki berusia 52 tahun nyaris maut selepas bumbung kereta dipandunya dihempap serpihan tembok dinding yang jatuh dari bangunan dalam pembinaan berhampiran sebuah pasar raya di USJ 1 di sini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin, mangsa dikatakan sedang memandu kereta Proton Wira ke kawasan parkir berhampiran.

Difahamkan, orang awam yang berada di lokasi kejadian ‘tergamam’ sejurus mendengar bunyi dentuman dan melihat serpihan batu menghempap kereta mangsa.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 3.40 petang sebelum menghantar enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati lelaki itu tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dia berkata, anggota bomba terpaksa mengalihkan serpihan tembok yang terjatuh di atas kereta mangsa sebelum mengeluarkan mangsa.

“Mangsa berjaya diselamatkan lima minit kemudian. Mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Dia berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 7:47 AM