RUMAH penduduk di Kampung Sungai Tengar Utara dilanda banjir.

Sabak Bernam: Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terhadap kejadian ban pecah di Sungai Air Tawar dan Tebuk Mendeling yang disifatkan paling buruk dalam tempoh lebih 10 tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik mendakwa projek tanaman kelapa sawit yang dimajukan sebuah syarikat kerajaan negeri menjadi punca utama kepada kejadian ban pecah di kawasan terbabit.

Beliau berkata, meskipun projek itu sudah dihentikan lebih tiga bulan lalu, namun sehingga kini kesan penebangan hutan dan paya bakau mengakibatkan hakisan di Sungai Bernam bertambah serius.

“Jika dulu kerajaan negeri bertegas mahu projek tanaman kelapa sawit ini diteruskan kononnya ingin memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung namun realitinya penduduk terpaksa bersusah apabila berdepan dengan risiko banjir.

“Sebenarnya penduduk sudah lama membantah isu pengambilan dan penerokaan tanah di Kampung Sungai Tengar Utara oleh anak syarikat kerajaan negeri sebab mereka lebih tahu risiko yang bakal melanda seperti ban pecah akibat air pasang,” katanya ketika meninjau mangsa fenomena air pasang di Pusat Pemindahan Banjir Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Air Tawar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:37 AM