SHAFIEN (tengah) menunjukkan kepala lori yang berjaya ditemui semula.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


Shah Alam: Tiga penjenayah yang cuba melarikan dua lori ‘mati akal’ apabila dikepung sepasukan anggota polis di Jalan Bukit Kemuning berdekatan Taman Sri Muda di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, tiga suspek berusia 27 hingga 46 tahun itu baru menceroboh sebuah syarikat pengangkutan di Telok Gong, Klang, selain turut mengikat empat pekerja warga asing sebelum melarikan kenderaan berkenaan.

Pemilik syarikat itu kemudian menghubungi talian kecemasan dan Sistem Pengesanan Global (GPS) bagi mengesan lori berkenaan di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, bertindak atas maklumat diberikan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semua unit kereta peronda polis (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) dan pasukan khas diarah menjejaki dua lori berkenaan.

Menurutnya, kenderaan itu dikesan menghala ke Taman Sri Muda dan tiga suspek ditahan dalam operasi berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi.

“Semua suspek ditahan hasil tindakan pantas 20 anggota pelbagai unit dari IPD Shah Alam yang menerima maklumat mengenai jenayah berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Alzafny Ahmad ketika dihubungi berkata, semua suspek direman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 7:04 AM