BIBI (kiri) mendengar peserta OKU membaca al-Quran Braille elektronik sempena Majlis Khatam Al-Quran dan Selawat Perdana.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 2,000 individu termasuk 500 orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan dijangka menyertai majlis Khatam Al-Quran dan Selawat Perdana yang dijadualkan berlangsung sempena Maulidur Rasul pada 12 Disember depan.

Menariknya, program julung kali diadakan itu bakal menonjolkan bacaan al-Quran peserta cacat penglihatan menggunakan naskhah braille.

Pengerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GERAKWANIS), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, pihaknya komited memastikan kelancaran program berkenaan yang turut mendapat kerjasama Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

“Ini buah tangan pertama kami dalam mengetengahkan majlis khatam al-Quran membabitkan orang cacat penglihatan.

“Mereka bersama-sama peserta normal lain mengalunkan bacaan juzuk satu hingga 30 menggunakan al-Quran braille.

“Jika perancangan kami berjalan lancar, program ini memahat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai majlis paling ramai penyertaan khatam dengan menggunakan al-Quran braille,” katanya pada sidang media di Pejabat PERTIS di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua PERTIS, Zamzuri Ghani dan Ketua Unit Penerbitannya, Muhammad Lee Abdullah.

Menurut Bibi Sunita, program berkenaan masih terbuka kepada semua khususnya golongan cacat penglihatan di seluruh negara.

“Pada peringkat awal, kami mengatur lima bas bagi peserta cacat penglihatan dari Kedah, Johor, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

“Matlamat kami bukan setakat menjayakan majlis atau mencatat sejarah dalam MBOR, tetapi sebenarnya memperjuangkan penajaan 41 asnaf program Celik al-Quran (CQ) yang sedang mengikuti pengajian Kemahiran Membaca Al-Quran.

“Mereka ini memerlukan dana berjumlah RM200,000 untuk membayar yuran kuliah selama 18 bulan bagi kursus kemahiran dikelolakan Universiti Malaya,” katanya.

Sebarang sumbangan boleh menghubungi Bibi Sunita di talian 019-3326144 atau e-mel sekretariat di gerakwanis@gmail.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:15 AM